Lee: Promosikan aktiviti kesihatan mental di sekolah

0

KUALA LUMPUR: Pengurusan sekolah perlu mempromosi aktiviti kesihatan mental sebagai langkah menangani isu kesihatan mental dalam kalangan pelajar, kata Anggota Majlis Penasihat Promosi Kesihatan Mental, Tan Sri Lee Lam Thye.

Beliau berkata, langkah tersebut perlu bagi mengenal pasti simptom kemurungan dan stres di kalangan pelajar supaya bantuan kaunseling dapat diberikan sebelum mereka terlibat dalam gejala yang lebih buruk.

“Isu kesihatan mental di kalangan pelajar perlu ditangani dengan segera.

Sekiranya mereka tidak mendapat bantuan, negara akan terbeban dengan generasi yang menghadapi masalah kesihatan mental dalam persekitaran dengan persaingan global yang semakin meningkat,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Katanya, antara aktiviti promosi kesihatan mental yang boleh dilaksanakan di sekolah termasuk mengenali kesihatan mental dalam komuniti menerusi ceramah, pameran dan kuiz yang boleh dijalankan sebagai aktiviti gerak kerja luar.

Beliau berkata sekolah juga perlu mempunyai kaunselor terlatih yang ramai bagi membimbing dan membantu pelajar berhubung cara menguruskan stres.

Selain itu, katanya, para pelajar juga perlu menasihatkan rakan mereka mendapatkan rawatan jika ternampak mesej resah disampaikan oleh rakan mereka itu di rangkaian sosial seperti Facebook.

Beliau juga menasihatkan ibu bapa tidak memberi tekanan terhadap anak-anak mereka agar sentiasa menunjukkan prestasi yang tinggi di sekolah.

“Walaupun ibu bapa mengatakan bahawa mereka tidak memberi tekanan kepada anak-anak, namun mereka (anak-anak) mudah mengenal pasti pengharapan yang tinggi daripada ibu bapa seterusnya meletakkan pengharapan yang tinggi itu ke atas diri mereka sendiri.

“Apabila gagal memenuhi pengharapan tersebut, kesannya akan memudaratkan mereka,” katanya dengan menambah bahawa sistem pendidikan berorientasikan peperiksaan menjurus ibu bapa untuk bersikap sedemikian.

Katanya, apa yang penting ibu bapa perlu memupuk asas keyakinan diri pada anak-anak supaya sebarang kegagalan atau kekecewaan dilihat sebagai peluang untuk mencuba semula dan bukannya sebagai kekurangan sehingga ia dijadikan alasan mudah untuk keluar dari masalah tersebut. — Bernama