Ekonomi bakal dipacu empat bidang

0

Iaitu teknologi maklumat, teknologi bio, teknologi nano dan teknologi neuro

Oleh Hamimi Kassim //

KUCHING: Menjelang 2050, inovasi ekonomi baharu dunia bakal dipacukan oleh empat bidang iaitu teknologi maklumat, teknologi bio, teknologi nano dan teknologi neuro.

Daripada empat bidang itu, Malaysia khasnya Sarawak memiliki kelebihan dan kekuatan dalam dua bidang iaitu teknologi informasi dan teknologi bio.

Justeru, Menteri Pelancongan dan Menteri Perumahan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata, kelebihan itu perlu dimanfaatkan dan digunakan sebaiknya demi memastikan ekonomi negeri ini dapat terus berkembang serta memenuhi permintaan pasaran global.

“Malaysia sedang berusaha ke arah menjadi sebuah negara membangun dan maju, begitu juga dengan Sarawak.

“Untuk itu, kita sedang mencari kekuatan yang boleh kita tawarkan kepada pasaran dunia dan daripada empat teknologi yang dijangka memacu pasaran dunia pada masa akan datang, Malaysia khasnya Sarawak dan Sabah dilihat mempunyai kekuatan dalam teknologi bio dan teknologi maklumat.

“Bagi teknologi bio, kita sememangnya terkenal dengan kepelbagaian sumber biologi dan pelbagai kajian serta penyelidikan dapat kita laksanakan bagi membuat produk baharu yang dapat dipasarkan ke peringkat global terutama dalam perubatan, kosmetik dan farmasi.

“Manakala dalam teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) pula, kita mempunyai kelebihan terutama dalam bidang grafik, pengaturcaraan dan kejuruteraan perisian yang mana ramai rakyat negeri ini mahir dalam bidang ICT,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Persidangan Perniagaan Antarabangsa Borneo (IBBC) 2014 di Hotel Riverside Majestic di sini, semalam.

Terdahulu, Abang Johari berkongsi visinya untuk melihat Sarawak dapat memiliki satelit sendiri bagi meningkatkan lagi pembangunan ICT di negeri ini.

Pada pandangannya, kerjasama boleh dibuat oleh Sarawak dan Sabah bagi menghantar satelit ke orbit, selain mewujudkan pelayan pusat yang dapat menampung keperluan di rantau ini.

“Ini hanyalah pandangan peribadi saya. Jumlah bagi mencipta satelit adalah kira-kira RM2 juta dan jika kita memiliki satelit sendiri, kita akan mempunyai platform sendiri dan selebihnya adalah milik semua.

“Dengan itu, saya yakin kita dapat menjadi salah satu daripada pemain utama dalam ekonomi dunia,” terangnya.

Dalam pada itu, beliau turut mengakui bahawa negeri ini masih lemah dalam komunikasi khasnya dari segi infrastruktur.

“Hingga kini, kita hanya  dapat menggunakan Streamyx dan UniFi di kawasan tertentu sahaja.

“Justeru, kita sepatutnya melabur dalam bidang yang saya rasakan kita mampu (berbanding satelit berharga RM2 juta),” jelasnya.

Untuk itu jelasnya, kerajaan telah membuat permintaan kepada kerajaan persekutuan untuk memberi peruntukan tambahan sebanyak RM500 juta bagi meningkatkan kemudahan ICT di negeri ini.

Beliau memberitahu, se-kiranya negeri ini memiliki teknologi terkini seperti jalur lebar gentian optik, baharulah kita dapat meletakkan diri kita sama tinggi dengan pemain peranan penting dalam ekonomi baharu.

Ketika ditanya mengenai isu minyak semasa sidang media selepas majlis, selain bersetuju untuk menawarkan 10 peratus kepada kerajaan negeri dalam Malaysia Liquefied Natural Gas (MLNG)4, Abang Johari berkata, kerajaan persekutuan juga perlu melihat kepada kepentingan kemudahan yang disediakan negeri ini kepada industri minyak dan gas.

“Sebagai contoh, Pihak Berkuasa Pelabuhan Bintulu, kita sudah melihat peningkatan dalam pegangan (dalam penyertaan ekuiti kita telah meningkat).

“Kerajaan persekutuan dan negeri juga perlu bersetuju dengan prinsip bagaimana caranya kita mendapatkan lebih daripada industri minyak dan gas ini yang tidak semesti-nya melalui royalti.

“Selain royalti, kita juga boleh meningkatkan pega-ngan kita,” ujarnya.

Ketika ditanya mengenai bila kerajaan negeri dijangka mendapat pulangan pegangan dalam MLNG4, beliau memberitahu: “Saya pasti ia hanya menunggu masa. Apa yang penting ialah kita mempunyai ekuiti di situ.”