England tarik diri dari Sukan Komanwel?

0

LONDON, England: England sedang menimbang secara serius untuk menarik diri daripada Sukan Komanwel di India tahun hadapan ekoran kebimbangan bahawa atletnya akan menjadi sasaran serangan pengganas, kata satu laporan semalam.Penasihat keselamatan dan polis bimbang pasukan England akan menjadi sasaran militan Pakistan dan merasakan keselamatan atlet tidak dapat dijamin ketika ini, menurut Daily Telegraph, yang memetik sumber yang tidak dinamakan.

Ia mungkin kali pertama di mana England sebagai negara pengasas tidak menyertai temasya sukan itu sejak 80 tahun, yang akan diadakan di New Delhi, India pada bulan Oktober.

Laporan hadir ketika pasukan badminton England menarik diri dari kejohanan dunia di India pada bulan Ogos, dengan alasan keselamatan di bandar raya penganjur Hyderabad kurang meyakinkan, sekali gus menimbulkan kritikan bahawa mereka telah menggembar-gemburkan situasi.

Paul Stephenseon, Pesuruhjaya Polis Metropolitan, mengunjungi ibu kota India itu awal bulan ini untuk memeriksa kawasan-kawasan sukan dan dikatakan menyuarakan ‘kebimbangan serius’ tentang urusan keselamatan, kata akhbar terbabit.

“Jika anda seorang atlet Inggeris, anda pasti tidak mahu mengambil risiko terhadap nyawa anda untuk bertanding pada kejohanan ini,” kata satu sumber yang dipetik sebagai berkata dalam laman web akhbar.

“Kami ketika ini tidak melihat cara lain di mana England akan dapat menghantar pasukan ke Delhi tahun hadapan,” tambah sumber.

Seorang jurucakap untuk Sukan Komanwel England, memberitahu akhbar tersebut bahawa situasi keselamatan sedang dipantau, dan keputusan akhir mengenai penyertaan mereka akan dibuat pada tahun hadapan.

“Kami akan mendapatkan nasihat daripada Polis Metropolitan. Kami tidak dapat membuat satu keputusan sehingga tiba masanya. Kami telah mendapat taklimat mengenai keselamatan dan kami akan membuat keputusan bila kami tahu apa ancaman pengganas,” katanya.

Kebimbangan tentang satu serangan ke atas atlet England dilihat berpunca daripada peranan Britain dalam konflik antarabangsa menentang Taliban di Afghanistan.

Jangkaan risiko bintang sukan asing menjadi sasaran di Asia Selatan sudah meningkat sejak kumpulan bersenjata menyerang pasukan kriket Sri Lanka di Lahore, Pakistan pada bulan Mac.

Enam anggota polis dan dua orang awam terbunuh dan tujuh anggota kriket Sri Lanka cedera dalam serangan ketika pasukan itu tiba untuk perlawanan Ujian.

Serangan militan di Mumbai pada November lepas membunuh 166 orang dan turut juga menambah kebimbangan pasukan-pasukan lain untuk ke India.

Kebimbangan juga memuncak di India berhubung penangguhan pembinaan venue kejohanan, yang akan melibatkan 6,000 atlet antarabangsa dalam 17 acara sukan.

Sukan Komanwel diwujudkan untuk mengumpulkan negaranegara bekas jajahan Great Britain dalam kejohanan yang dianggap kedua terbesar selepas Sukan Olimpik. — AFP