Ferrari tarik diri jika F1 tiada perubahan positif

0

LONDON, England: Ferrari akan menarik diri daripada perlumbaan Formula Satu (F1) sekiranya sukan itu tidak menampakkan sebarang perubahan positif.Untuk rekod, pengeluar kenderaan dari Itali itu akan terus mewarnai sukan F1 sehingga kontrak perjanjian mereka berakhir pada 2012.

Namun demikian, presiden Ferrari, Luca di Montezemolo menegaskan, jika perubahan drastik dalam peraturan F1 masih berterusan serta kos perbelanjaan yang dihadkan, pasukan yang berpangkalan di Maranello itu tidak akan teragak-agak untuk keluar daripada perlumbaan kereta paling berprestij di dunia tersebut.

“Saya mahu F1 menunjukkan peningkatan yang ketara bagi tempoh sekarang sehingga 2012. Jika tidak kami akan mengalih tumpuan kami ke tempat lain,” kata di Montezemolo.

“Kami tidak boleh terima jurang yang besar di antara pemandu.

“Kalau dahulu dalam kawasan pit ada ramai gadis-gadis cantik, sekarang ia kelihatan seperti satu kem tahanan… kita perlu mengubahnya!”

Di Montezemolo menambah: “Banyak jawapan yang diperlukan. Kita perlukan orang yang bagus dalam FIA. Jean Todt (presiden baru FIA) adalah seorang yang baik dan tahu tentang F1 dan saya pasti keutamaannya ialah untuk mencipta semula suasana yang berbeza.

“Bernie Ecclestone (pemilik F1) sudah hampir ke penghujung kariernya tetapi saya berani memberi jaminan bahawa beliau akan tetap bertahan.” — Reuters