Penyokong usah terlalu emosi

0

Peminat bola sepak Limbang diseru bantu kelancaran Liga Bola Sepak Saberkas

LIMBANG: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota, Dr Abdul Rahman Ismail mengingatkan penyokong bola sepak di daerah ini agar tidak terlalu emosi ketika menyaksikan Liga Bola Sepak Saberkas yang melabuhkan tirainya awal bulan ini.Beliau berkata, sebagai penyokong setia sukan bola sepak, mereka seharusnya memberi semangat dan perangsang kepada pasukan masing-masing demi memastikan kelancaran penganjuran liga itu yang dijangka berakhir awal tahun depan.

“Jika penyokong yang hadir menyaksikan perlawanan terlalu mengikut emosi, kita takut ia akan mengugat kelancaran perlawanan, selain mengelak sebarang insiden yang tidak dingini berlaku,” katanya ketika dihubungi Utusan Borneo, semalam.

Beliau menyatakan demikian ketika mengulas gelagat sesetengah penyokong bola sepak yang terlalu emosi sehingga hampir mencetuskan pergaduhan ketika pasukan Bidang menentang Wilayah PJR di Kompleks Sukan di sini, kelmarin.

Dalam perlawanan peringkat awal itu, pasukan Bidang menewaskan Wilayah PJR dengan jaringan 4-2.

Ditanya mengenai cadangan untuk menempatkan anggota keselamatan termasuk RELA sepanjang kejohanan itu berlangsung, Dr Abdul Rahman menjelaskan keadaan tersebut dapat dikawal sekiranya penyokong tidak terlalu emosi.

“Kita faham, sesetengah penyokong dan peminat setia bola sepak terlalu ghairah ketika menyaksikan pasukan masing-masing bermain untuk merebut gelaran juara,” katanya.

“Namun, akibat tindak tanduk mereka yang didorong oleh perasaan dan emosi, segala yang kita rancang untuk Liga Bola Sepak tidak dapat berjalan dengan lancar.”

Sementara itu, beliau tidak menolak kemungkinan untuk menangguhkan perlawanan akhir liga tersebut sekiranya keadaan dan struktur padang kurang memuaskan.

“Pada masa ini kita tidak mempunyai pilihan untuk mengadakan perlawanan di Kompleks Sukan memandangkan pada masa ini Limbang berhadapan dengan masalah kekurangan padang,” jelasnya.

“Jika keadaan padang bertambah teruk, kita terpaksa menangguhkan sementara kejohanan peringkat akhir bagi memberi laluan kepada kerja-kerja penyelenggaraan padang oleh agensi terbabit.”

Beliau yakin agensi berkenaan akan dapat meningkatkan kemudahan dan menyelenggara padang dengan segera demi memastikan kemudahan tersebut dapat dinikmati sepenuhnya oleh peminat bola sepak di sini.

Dalam pada itu Timbalan Pengerusi Liga, Alidin@Brahim Tawar memberitahu beberapa pasukan utama sudah dikenal pasti untuk melangkah ke suku akhir berdasarkan siri perlawanan setakat 24 Disember lepas.

“Bagi Zon A, setakat ini pasukan SVT Samba memungut enam mata, diikuti oleh Wilayah PJR dan LBA (empat mata), Pasukan Bidang (tiga mata) dan Amateur Club FC yang belum mengutip sebarang mata,” katanya.

Selain itu, Alidin berkata, pasukan Tiger dan pasukan ACJ setakat ini berjaya mengutip sebanyak enam mata dalam Zon B, diikuti pasukan ABC Club (tiga mata) dan R9 Club tanpa sebarang mata.

Katanya lagi, dalam Zon C pula, pasukan Vogue berjaya memperolehi sembilan mata, diikuti pasukan Didora (enam mata), pasukan Menuang dan PDRM (tiga mata) dan Kilat FC tanpa memperolehi sebarang mata.