SPDP guna konsep satu ahli dapat satu ahli baru

0

Ia sebagai usaha untuk menambah bilangan ahli yang kini kira-kira 100,000 orang

KUCHING: Konsep satu ahli mendapatkan satu ahli baru akan diguna pakai oleh Parti Progresif Demokratik Sara-wak (SPDP) dalam usaha menambah bilangan ahli yang kini kira-kira 100,000 orang.Presiden SPDP Dato Sri William Mawan Ikom berkata syor yang dicadangkan oleh perwakilan SPDP pada Perhimpunan Agung Tritahunan Kedua semalam akan dinilai Majlis Tertinggi.

Bagaimanapun, beliau segera mengingatkan para perwakilan agar tidak terlalu ghairah merekrut ahli baru hingga mengabaikan semangat kekeluargaan dalam Barisan Nasional (BN).

“Selagi ahli baru itu menyertai BN, ia tidak mendatangkan mudarat kepada SPDP yang merupakan antara parti komponen dalam BN.

“Kalau sokong BN kita tidak perlu risau asalkan bukan menyertai parti pembangkang. Dalam memastikan BN terus di hati rakyat, peringkat akar umbi perlu memaksimumkan kerjasama sesama parti-parti komponen BN,” katanya ketika menjawab soalan dan cadangan yang dikemukakan oleh para perwakilan di Dewan Suarah di sini, semalam.

Menurut beliau, sebagai sebuah parti komponen BN, ahli tidak harus melihat dari perspektif SPDP semata-mata tetapi menilai gerak kerja BN yang memegang perjuangan umum.

Katanya, kerjasama maksimum dengan parti-parti komponen lain akan memastikan kejayaan BN dalam membela nasib rakyat dan seterusnya para pengundi akan terus memilih calon-calon BN.

Selaras dengan matlamat untuk menambah bilangan ahli, Mawan memberi jaminan akan memberi bantuan dalam apa jua bentuk kepada bahagian atau cawangan SPDP.

Bantuan terutama dalam bentuk kewangan itu turut di-bangkitkan oleh para per-wakilan yang mengadu sukar untuk menggerakkan aktiviti-aktiviti berkaitan mempromosikan SPDP di kalangan penduduk setempat.

Mawan yang amat menghargai pendapat dan cadangan para perwakilan berkata beliau juga akan mengadakan lawatan ke setiap bahagian SPDP secara lebih teratur.

“Di Ibu Pejabat SPDP kita akan merangka jadual lawatan ke bahagian-bahagian SPDP.

“Dengan ini kita dapat mengenal pasti bahagian mana yang belum dilawati,” kata-nya.

Para perwakilan berpendapat, lawatan para pemimpin tertinggi SPDP amat mustahak bagi memastikan kerja-kerja di peringkat bahagian dapat berjalan lancar.

“Kita tidak mahu terdengar rungutan di kalangan pihak yang belum menyertai SPDP yang mengatakan tidak guna masuk SPDP kerana kurang diberi perhatian,” katanya.

Mawan yang juga Menteri Pembangunan Sosial dan Urbanisasi berkata beliau setuju dengan syor perwakilan untuk mewujudkan Biro Perniagaan SPDP.

Katanya, biro berkenaan akan mengenal pasti perniagaan yang boleh diceburi oleh SPDP agar sumber kewangan SPDP semakin berkembang.

Malah, demikian juga dengan para wakil rakyat.

Menurut beliau, tidak semua wakil rakyat mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh.

“Untuk memberi khidmat kepada rakyat di kawasan yang diwakili memerlukan wang banyak dan jika kekurangan sumber ini akan menjejas-     kan mutu perkhidmatan,”  katanya.