Thursday, September 28

Pemaju digesa bersihkan tapak pembinaan selepas projek siap

0

MIRI: Majlis Bandaraya Miri (MBM) menggesa pihak pemaju supaya membersihkan semula kawasan sekitar tapak pembinaan masing-masing selepas projek tersebut siap dilaksanakan.Datuk Bandar MBM, Lawrence Lai berkata, sikap sesetengah pemaju yang sengaja meninggalkan bekas bahan binaan sebaik sahaja projek mereka siap sepenuhnya sangat dikesali.

“Mereka hanya menunggu pihak MBM membersihkan kawasan ini untuk mereka. Pihak pemaju sepatutnya lebih bertanggungjawab membersihkan kawasan ini sebaik sahaja proses pembinaannya selesai,” katanya selepas meninjau bangunan rumah kedai di Pusat Komersial Pelita semalam.

Lawrence berkata, sikap pemaju termasuk pemilik bangunan yang sengaja membuang bahan binaan tidak jauh dari tapak pembinaan amat dikesali kerana ia turut mengundang masalah lain kepada masyarakat.

“Pemaju ini mempunyai bajet untuk melakukan penambahbaikan namun tidak mahu mengeluarkan wang bagi menjalankan kerja-kerja pembersihan, sedangkan mereka boleh mengupah syarikat pembersihan untuk tujuan itu,” katanya.

Antara bahan binaan yang dibiarkan dan ditinggalkan di kawasan itu termasuk kayu, papan lapis, plastik simen serta barangan elektrik rosak.

“Ia tidak berbaloi jika MBM mengeluarkan wang untuk menjalankan kerja-kerja pembersihan memandangkan wang tersebut boleh digunakan untuk tujuan lain,” katanya.

Lai menjelaskan, pihak MBM akan menjalankan pemeriksaan terhadap pihak yang bertanggungjawab membuang sampah secara haram di tapak pembinaan ini.

“Kita akan mengeluarkan notis kepada mereka untuk membersihkan semula sampah sarap tersebut dan jika MBM yang menjalankan kerja-kerja ini, maka kita akan mengenakan caj terhadap pemilik bangunan,” katanya.

Lai menjelaskan, terdapat juga sesetengah pemaju perumahan membuang bekas bahan binaan di tepi-tepi jalan dan mengharapkan MBM membersihkan sampah sarap berkenaan untuk mereka.

Dalam pada itu, pihak MBM juga akan membina taman permainan kanak-kanak berhampiran Pusat Komersial Merbau sementara aktiviti penanaman secara haram di kawasan itu akan dibersihkan.