Promosi lucah di telefon bimbit

0

Pengguna telefon bimbit diajak melanggan perkhidmatan lucah menerusi SMS

KUCHING: “Hi, saya HAMINAH Nikmati Koleksi video peribadiku yang hebat dan panas! sila hantar mesej HW ke **********(nombor penyedia perkhidmatan telekomunikasi tempatan). Notice! Hanya untuk umur 18 ke atas sahaja.”

Itu merupakan kata-kata promosi agar pengguna telefon bimbit melanggan perkhidmatan lucah yang disediakan menerusi Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) yang kini didapati semakin berleluasa.

Tindakan golongan tidak bertanggungjawab ini lebih berani apabila mereka mengirim SMS promosi menggunakan nombor telefon bimbit yang tertera dengan jelas.

Golongan tersebut ternyata hanya ingin mengaut keuntungan semata-mata menerusi kegiatan yang tidak sihat sedemikian.

Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Joseph Salang Gandum berkata, tindakan tidak senonoh itu sememangnya bertentangan dengan undang-undang negara.

“Namun, tidak banyak yang dapat kita dilakukan untuk menandangi perkara yang kian berleluasa itu.

“Setiap penerima SMS seperti itu dinasihati untuk tidak mengendahkan SMS tersebut,” katanya ketika dihubungi Utusan Borneo, di sini, semalam.

Beliau menasihati para penerima SMS berkenaan untuk membuat aduan mengenai perkara tersebut kepada penyedia perkhidmatan telekomunikasi yang mereka langgani.

Bagaimanapun, menurutnya untuk mengesan dalang di sebaliknya bukan semudah yang disangkakan.

“Lazimnya, agak susah untuk mengesan mereka kerana mereka berkemungkinan bukan berada di dalam negara,” katanya.