Wednesday, December 8

Polis komited kurangkan jenayah

0

Polis Sarawak berusaha turunkan 20 peratus jenayah jalanan, lima peratus indeks jenayah keseluruhan tahun ini

KUCHING: Polis Sarawak berusaha keras mencapai penurunan 20 peratus kadar jenayah jalanan dan lima peratus indeks jenayah keseluruhan di negeri ini pada tahun ini.Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohmad Salleh berkata walaupun Sarawak tidak tersenarai dalam

Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dalam kategori jenayah namun secara asasnya pihak polis Sarawak telah pun melaksanakannya sebagai tindakan awal bagi mengurangkan kadar jenayah di sini.

“Pihak Polis akan berusaha keras untuk mengurangkan kadar jenayah jalanan kepada 20 peratus dan lima peratus kepada indeks jenayah keseluruhan untuk negeri ini.

“Kita melaksanakan NKRA walaupun Sarawak masih tidak tersenarai namun kita bersedia lebih awal sebelum diminta oleh pucuk pimpinan nanti,” kata Mohmad ketika ditanya mengenai perancangan polis negeri untuk tahun 2010.

Mohmad juga memberitahu pihak polis akan meningkatkan kerjasama dengan semua agensi penguat kuasa dalam mengurangkan kadar jenayah di negeri ini.

“Pihak polis bersama agensi penguat kuasa lain akan meningkatkan kerjasama dalam mengurangkan kadar jenayah di negeri ini dan menjadikan negeri ini sebuah negeri yang harmoni dan selamat.

“Kita akan berbincang dengan agensi penguat kuasa lain kerana semua mempunyai peranan dalam mengurangkan jenayah dan nescaya jenayah ini akan berkurangan dengan adanya kerjasama antara semua agensi penguat kuasa.

“Selain daripada pihak berkuasa, individu juga harus prihatin dalam menjaga keselamatan dan harta benda masing-masing,” katanya.

Mohmad juga ditanya mengenai persediaan pihak polis dalam menghadapi pilihan raya yang dijangka akan diadakan tahun ini.

Beliau berkata pihak polis sentiasa bersedia untuk apa jua perkara yang berlaku termasuk pilihan raya.

“Pihak polis tidak mempunyai masalah berhubung pilihan raya kerana kami sentiasa berada dalam keadaan bersedia untuk apa jua perkara yang berlaku termasuk pilihan raya.

“Memang tidak dinafikan kontinjen kita di Sarawak tidak mencukupi untuk menjaga kesemua bahagian negeri ini tetapi kita akan mendapatkan bantuan kontinjen dari luar seperti Bukit Aman,” katanya.