Pengusaha kem balak tersinggung, murid Penan jadi mangsa

0

LONG BEDIAN: Tabung Bruno Manser  (BMF) men-dakwa kononnya pekerja-pekerja kem pembalakan di Baram  mengambil kesempatan merogol murid atau pelajar kaum Penan semasa menaiki kenderaan mereka.

Tersinggung dengan dakwaan itu serta pelbagai persepsi negatif masyarakat, pengusaha kem pembalakan di Baram telah bertindak menghentikan khidmat membantu menghantar dan mengambil murid dan pelajar kaum Penan dari sekolah.

Akibatnya ramai anak kaum Penan kini tidak ke sekolah kerana ketiadaan pengangkutan untuk membawa mereka pergi dan balik dari sekolah.

Keadaan ini turut merisaukan golongan ibu bapa daripada suku kaum Penan di kawasan Baram berikutan kesukaran menghantar anak-anak mereka ke sekolah sejak pengusaha kem balak yang menyediakan perkhidmatan pengangkutan untuk mereka sebelum ini ter-singgung lalu merajuk berikutan kontroversi yang ditimbulkan.

Namun, nasib mereka tidak dibiarkan berikutan campur tangan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Lihan Jok dan Kementerian Pelajaran yang mencari pelan tindakan segera.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi ketika mengulas perkara itu, berkata, kementerian telah mengarahkan Pegawai Pelajaran Miri dan Baram untuk memberi laporan lengkap serta cadangan konkrit yang segera untuk mengatasi masalah itu.

Beliau berkata, sebelum ini pengusaha kem pembalakan menyediakan perkhidmatan pengangkutan untuk menghantar anak-anak kaum Penan ke sekolah dan juga penem-patan, namun ia dihentikan berikutan terlalu banyak persepsi negatif yang dilontarkan terhadap mereka.

“Berikutan cerita negatif dan kontroversi, mereka takut dan malu untuk membawa anak-anak Penan.  Mungkin ada satu dua kes, namun bila dijadikan isu secara menyeluruh, mereka takut dan merajuk.

“Yang menjadi mangsa sekarang adalah anak-anak kaum Penan yang mahu bersekolah. Kerajaan memandang serius perkara ini dan akan mencari pendekatan terbaik untuk mengatasinya,” katanya kepada media selepas majlis peletakan batu asas projek pembinaan sekolah komprehensif (K9) di Sekolah Kebangsaan (SK) Long Bedian, kelmarin.

Beliau menambah, cadangan itu perlu dikemukakan dalam tempoh terdekat dan dijangka akan dilaksanakan dalam tahun ini juga sementara menunggu K9 SK Long Bedian yang dilengkapi asrama siap pada Februari 2011.

Terdahulu, Lihan melahirkan kebimbangan beliau dengan kesukaran ibu bapa kaum Penan menghantar anak-anak mereka ke sekolah kerana mereka tinggal berjauhan dari sekolah.

“Terdapat lebih 80 peratus kaum Penan di Sarawak tinggal berselerak di kira-kira 71 penempatan di seluruh Baram. Kita bimbang ketiadaan pengangkutan akan mematahkan semangat mereka untuk bersekolah.”

Sehubungan itu, Lihan mencadangkan pihak kementerian agar mencari pendekatan terbaik termasuk menyediakan pengangkutan untuk membawa anak-anak Penan ini sama ada ke sekolah atau tempat tinggal (asrama) mereka.

“Bukan sahaja di Long Bedian, malahan di tempat lain yang ada penduduk Penan. Kita      tidak dapat menggunakan pengangkutan kem balak kerana mereka tidak mahu dimalu-  kan oleh kontroversi sebelum ini,” katanya.