20 pesakit sehari dirawat di Klinik 1Malaysia

0

PETALING JAYA: Pembukaan Klinik 1Malaysia di Lembah Subang mendapat reaksi positif penduduk setempat apabila sekurang-kurangnya 20 pesakit mendapatkan rawatan di klinik berkenaan setiap hari.Sejak dibuka Isnin lepas, penduduk tanpa mengira bangsa dan usia tidak putus-putus mengunjungi klinik itu untuk mendapatkan rawatan terutamanya untuk penyakit ringan seperti demam, selesema dan batuk.

Jururawat Terlatih Rasmah Talib berkata sejak dibuka, klinik itu juga telah melakukan rawatan mencuci luka dan mencuci mata.

Bercakap kepada Bernama selepas majlis pelancaran Klinik 1Malaysia Lembah Subang oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di sini semalam, Rasmah berkata operasi di klinik itu turut dibantu penolong pembantu perubatan dan pembantu perawatan kesihatan.

“Syif pertama bermula pada 10 pagi hingga 6 petang, manakala syif kedua mulai 6 petang hingga 10 malam akan diambil alih oleh kakitangan Klinik Kesihatan (KK) Kelana Jaya,” katanya.

Menurutnya operasi klinik itu turut dipantau doktor dari KK Kelana Jaya yang akan melawat klinik berkenaan setiap minggu, selain akan turut dikunjungi pakar perubatan keluarga dan pakar kaunseling pemakanan. — Bernama

Beliau juga berharap supaya petugas di klinik berkenaan akan ditambah pada masa akan datang memandangkan ramai penduduk yang mendapatkan rawatan di situ. — Bernama