Empat terbaik sasaran realistik

0

Skuad Sarawak diyakini mampu mencabar dalam kancah saingan Liga Perdana

KUCHING: Sasaran untuk berada di kalangan empat pasukan terbaik dalam kancah Liga Perdana musim ini dilihat sebagai realistik, demikian menurut Pengerusi FAS-FMG Sdn Bhd, Datu Sudarsono Osman.Beliau berkata dengan menduduki sekurang-kurangnya tempat keempat dalam liga 12 pasukan musim baru ini, Sarawak akan dapat melayakkan diri ke kejohanan Piala Malaysia, malah jika mampu berada di antara tiga pasukan teratas, skuad negeri akan dapat kembali ke Liga Super untuk musim berikutnya.

“Berdasarkan kepada keputusan yang dicapai oleh pasukan bola sepak negeri dalam beberapa perlawanan persahabatan di Semenanjung bulan lepas, saya percaya sasaran itu (menduduki empat tempat teratas dalam Liga Perdana) mampu dicapai,” demikian menurut beliau dengan penuh yakin setelah menerima penajaan daripada Lea Sports Centre dan Adidas di Stadium Sarawak di sini, semalam (Khamis).

Penajaan tersebut diserahkan kepada FAS-FMG Sdn Bhd oleh pengarah urusan Lea Holding, Raymond Sim dan pengurus operasi kanan Lea Sports Centre, Poh Siok Hoon.

Dalam satu kenyataan media semalam, Lea Sports Centre menyatakan rasa bangganya untuk menjadi penaja utama skuad bola sepak Sarawak sekali lagi tahun ini dalam usaha membantu membangunkan sukan bola sepak di negeri ini.

Syarikat pakaian sukan terbesar di Malaysia Timur itu yang sudah membantu skuad bola sepak negeri sejak 1990 lagi, berharap penajaan itu akan dapat mengurangkan bebanan perbelanjaan yang terpaksa ditanggung oleh pihak pengurusan selain menyumbang kepada kejayaan skuad negeri di pentas Liga Perdana musim ini.

Dalam siri perlawanan persahabatan di Semenanjung bulan lepas, Sarawak tewas 0-2 kepada Selangor, seri 0-0 dengan Melaka dan Kuala Lumpur, tewas 3-4 kepada KL Plus dan menewaskan Selangor PKNS, 1-0.

Sudarsono berkata masih terlalu awal untuk menilai sejauh mana skuad Sarawak akan melangkah musim baru ini memandangkan ia adalah skuad baru yang terdiri kebanyakannya pemain-pemain muda tempatan dari skuad Piala Presiden dengan enam pemain import tempatan dari Semenanjung.

“Kita hanya akan tahu kemampuan pasukan ini sebaik sahaja Liga Malaysia membuka tirainya pada Isnin depan. Kita akan lihat bagaimana prestasi mereka nanti selain mengkaji prestasi pasukan sepanjang musim,” ujarnya.

Bagi jurulatih Sarawak, Mohamad Zaki Shaikh Ahmad pula, persiapan anakanak buahnya untuk musim ini telah berjalan dengan lancar tanpa banyak masalah.

“Pemain-pemain menunjukkan peningkatan setiap selepas perlawanan namun penyudahan perlulah diperbaiki Saya juga telah melihat peningkatan besar dalam kerjasama pasukan dan pemain- pemain ini bukan hanya semakin menyesuaikan diri sebagai satu pasukan bahkan juga sebagai satu unit keluarga,” ujarnya.

Beliau menjelaskan skuadnya akan menentang skuad Piala Presiden dalam satu perlawanan persahabatan di Stadium Negeri, jam 4.30 petang hari ini (Jumaat).

Dalam pada itu, FAS-FMG Sdn Bhd akan melancarkan jualan tiket bermusim korporat tidak lama lagi.

“Tiket-tiket ini terhad kepada 80 sahaja dengan harga RM1,000 bagi setiap tiket. Ia meliputi akses percuma ke dalam stadium, tempat duduk istimewa, makanan dan minuman ringan serta pas parkir kereta,” ujar Sudarsono.

Justeru beliau berharap syarikat-syarikat korporat dan orang-perseorangan akan tampil untuk membeli tikettiket berkenaan.