Pasar Malam kotor selepas operasi

0

MBM gesa pengusaha kerjasama bersihkan tapak niaga masing-masing

MIRI: Para pengusaha gerai di Pasar Malam Pusat Komersil Saberkas di sini diingatkan supaya lebih bertanggungjawab dalam menjaga kebersihan di tapak perniagaan masing-masing serta tidak membuang atau melonggokkan sampah-sarap sesuka hati.Datuk Bandar Majlis Bandaraya Miri (MBM), Lawrence Lai berkata, masalah sampah di tapak Pasar Malam itu bukan merupakan masalah baru, namun telah wujud sejak beberapa tahun lalu walaupun pihak berkuasa tempatan ada menyediakan beberapa tong sampah besar di kawasan tersebut.

“Kita sedar akan masalah ini. Namun yang menghairankan adalah sikap para peniaga yang seolah-olah tidak mengendahkan soal kebersihan dengan membiarkan sampah sarap bersepah di sekitar gerai mereka serta tidak menggunakan kemudahan tong sampah yang disediakan dengan sepenuhnya,” ujar beliau.

Tambahnya, walaupun pihak MBM ada melantik kontraktor untuk memungut sampah di kawasan tersebut setiap kali waktu perniaga ditutup, namun mereka (peniaga) tidak harus menyerahkan tugas membersih kawasan perniagaan mereka bulat-bulat kepada kontraktor terbabit.

“Seharusnya mereka sendiri lebih bersikap bertanggungjawab dalam membersih kawasan perniagaan masing-masing dan bukannya mengharapkan sepenuhnya pihak kontraktor terbabit,” tegas beliau ketika dihubungi Utusan Borneo semalam.

Sehubungan itu, Lawrence meminta kerjasama para pe-ngunjung Pasar Malam terbabit agar sama-sama menjaga kebersihan di tapak perniagaan tersebut dengan tidak membuat sampah sarap seperti bungkusan makanan dan minuman sesuka hati.

Katanya, setakat ini lebih 50 buah gerai yang menjual pelbagai juadah makanan dan minuman, sayur-sayuran, buah-buahan, bunga dan lain-lain didirikan di Pasar Malam tersebut dibuka pada setiap malam hari Jumaat dan Sabtu.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Peniaga Bumiputera Miri Sarawak (PBMS), Abdul Hadie Arbi ketika diminta mengulas masalah sama berkata, beliau telah menasihatkan para peniaga di Pasar Malam terbabit yang sebahagiannya merupakan ahli persatuan supaya membersihkan kawasan perniagaan mereka selepas tamat waktu operasi.

“Aspek kebersihan amat penting dan harus dititik-    beratkan di semua premis perniagaan terutama yang ber-urusan dengan makanan dan minuman selain menjadi tumpuan orang awam yang datang untuk membeli-belah. Justeru, semua peniaga harus mengambilberat soal kebersihan di gerai mereka,” ujar-nya.

Pun begitu, katanya, tidak semua peniaga di kawasan terbabit yang bersikap sedemikian kerana ada segelintir peniaga turut dilihat membersihkan kawasan gerai mereka selepas tamat waktu perniagaan pada lewat malam.

Sehubungan itu, Lawrence dan Hadie  memberi jaminan akan terus memantau situasi tersebut dari semasa ke se-masa.

Pada hujung minggu yang lepas, Utusan Borneo yang berkesempatan meninjau ke tapak Pasar Malam tersebut selepas tamat waktu perniagaan, berasa amat terkilan dengan pemandangan yang begitu menjijikkan di tapak tersebut.

Sepanjang tinjauan selama tiga jam di kawasan itu (selepas waktu perniagaan ditutup), tiada sebarang individu dilihat tampil membersihkan kawasan tersebut.

Sampah sarap seperti bungkusan makanan dan minuman, sisa makanan dibiarkan berselerak tanpa dibersihkan terlebih dahulu oleh para pemilik gerai.

Memburukkan keadaan tapak berkenaan terletak di tepi laluan utama Jalan Pujut-Lutong yang sudah pasti boleh dilihat dengan jelas oleh orang yang lalu-lalang di jalan ter-sebut.

Menurut seorang peniaga yang hanya mahu dikenali sebagai Kak Milah, pemandangan sebegini sudah menjadi kebiasaan sejak beberapa tahun lalu.

“Sesetengah peniaga yang ada kesedaran sivik turut menyediakan tong sampah sendiri di kawasan gerai mereka, manakala yang lain lebih suka bersikap tak endah dan mencampak sampah sesuka hati,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menggesa pihak MBM ataupun PBMS melakukan se-suatu untuk mendidik peniaga yang tidak bertanggung-jawab demi menjaga tahap  kebersihan dan imej keseluruhan peniaga di situ.