CIMB Bank sumbang 16 komputer kepada dua sekolah luar bandar

0

MIRI: CIMB Bank Berhad menyumbang sebanyak 16 unit komputer kepada dua buah Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) di luar bandar semalam.Penerimanya ialah SJK Chua Hua Sibuti dan SJK Chin Nam Niah yang masing-masing menerima lapan buah komputer dengan nilai keseluruhan berjumlah RM33,000.

Sumbangan adalah bawah Yayasan CIMB dan Tanggungjawab Sosial Korperat (CSR) bank berkenaan kepada masyarakat.

“Dengan sumbangan ini, kita mahu membantu meningkatkan Teknologi Komunikasi dan Maklumat (ICT) di sekolah-sekolah rendah di sini,” demikian jelas Pengurus Jualan Runcit CIMB Mohamad Daud Abdul Hamid, menambah Yayasan CIMB telah dimulakan pada tahun 2007.

Sejak bulan Mei 2007, bank telah terlibat dalam hampir 300 program kemasyarakatan di seluruh negara dengan kos mencecah RM14 juta yang antaranya seperti program pembangunan masyarakat dan keluarga, perlindungan alam sekitar, penjagaan kesihatan dan promosi budaya dan seni dalam masyarakat.

“Kita percaya bahawa setiap kanak-kanak perlu diterapkan dengan ilmu ICT dan kita akan melaksanakan tugas kita agar pelajar mendapat hak dan peluang mereka mem-pelajari ilmu tersebut,” jelasnya.

Dalam pada itu, majlis penyerahan sumbangan itu telah diadakan di Dewan Perniagaan Cina dan Industri (DPCI) Miri.

Sumbangan turut mendapat kerjasama DPCI yang akan menyerahkan komputer kepada sekolah.

SJK Chung Hua Sibuti diwakili oleh Guru Besarnya Chai Fui Leong sementara SJK Chin Nan diwakili oleh Guru Besarnya Yong Hin Kiam.

Hadir sama ialah Pengerusi DPCI Dato Sim Hock Guan, Naib Pengerusi DPCI Pemanca Lee Sie Tong dan Pengarah Wilayah CIMB Ali Adar.