PBT digesa lebih serius

0

Ambil tindakan tegas terhadap pengusaha bilik sewa haram

SIBU: Pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu lebih serius dan mengambil tindakan tegas terhadap pengusaha bilik sewa haram (tidak berlesen), yang kini dilihat wujud di bandar ini bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan.Pengerusi Persatuan Hotel Wilayah Tengah Sarawak, Johnny Wong Sie Lee berkata, kewujudan bilik sewa di bandar ini akan menjadi lebih teruk jika masalah itu tidak ditangani dari sekarang.

“Pihak majlis tempatan perlu tegas dalam soal ini. Jika tidak, akan wujud lebih banyak bilik sewa haram pada masa akan datang,” ujarnya kepada pemberita.

Wong memberitahu, masalah kewujudan bilik sewa haram pernah berlaku di bandar ini pada lewat tahun 80an, dan berulang pada hari ini.

“Masalah ini dilihat wujud disebabkan kelemahan undang-undang yang ada,” katanya sambil menyarankan pihak majlis berkuasa tempatan dan pihak berkaitan menyemak semula undang-undang yang digunapakai sekarang.

Menurut Wong lagi, ramai orang tidak dapat membezakan antara hotel dengan bilik sewa haram dan lebih suka memilih bilik sewa haram atas sebab kadar sewa yang murah.

“Namun, orang ramai jangan lupa risiko yang dihadapi jika sesuatu perkara buruk terjadi semasa mereka tinggal di bilik sewa haram terbabit.

“Ini kerana kebanyakan bilik sewa beroperasi tanpa lesen yang sah, di samping tidak mempunyai ciri-ciri keselamatan,” jelas beliau.

Selain itu, katanya, bilik sewa ini yang boleh disewa untuk tempoh yang panjang, cenderung dijadikan sarang maksiat, terutama untuk aktiviti pelacuran.

“Oleh itu, dengan bertambahnya bilik sewa, akan bertambah juga masalah sosial,” ujar Wong yang mendakwa ia turut menjejaskan industri hotel tempatan.