Malaysia hab produk teknologi hijau

0

Chin mahu negara bangunkan teknologi hijau untuk rangsang ekonomi

MIRI: Menteri Teknologi, Tenaga Hijau dan Air Datuk Seri Peter Chin Fah Kui mahu Malaysia menjadi hab pengeluaran produk-produk berasaskan teknologi hijau yang diyakini mampu menjana pembangunan ekonomi negara dalam era teknologi kini.

Chin berkata, kebanyakan negara di dunia sudah mula membangunkan teknologi berkenaan kerana ia memberi manfaat besar kepada ekonomi dari segi penjimatan kos penggunaan tenaga yang lebih cekap dan efisien.

“Teknologi hijau adalah penting untuk masa depan dunia. Oleh itu, Malaysia perlu sama dengan arus perdana dan tidak boleh ketinggalan,” ujarnya pada sidang media di Hotel Grand Palace semalam.

Chin berkata, langkah utama kerajaan sekarang ialah mahu menjadikan Kuala Lumpur sebagai hab perniagaan produk-produk teknologi hijau yang dihasilkan oleh pereka-pereka dari seluruh dunia.

Selain itu, Kuala Lumpur juga akan dijadikan sebagai pusat penganjuran seminar dan persidangan teknologi hijau peringkat antarabangsa.

“Kita juga mahu Malaysia mempunyai lokasi khusus di mana pengusaha-pengusaha teknologi hijau akan berkumpul untuk memperkenalkan produk mereka dan berniaga,” jelasnya.

Chin memberitahu, penganjuran International Greentech and Eco Products Exhibition and Conference Malaysia (IGEM) – Persidangan dan Pameran Produk-Produk Eko dan Teknologi Hijau Antarabangsa akan diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di Kuala Lumpur pada 14 hingga 17 Oktober depan.

Ia merupakan persidangan IGEM julung kali yang akan dibuat secara besar-besaran di peringkat antarabangsa, ujarnya.

“Ini merupakan aktiviti jangka panjang kerajaan. Kita akan menjadikan bulan Oktober sebagai masa untuk membincangkan teknologi ini dan menguatkan kerjasama perniagaan kita,” jelasnya.

Selain pameran dan persidangan, Mesyuarat Meja Bulat Menteri-Menteri berkaitan teknologi hijau dan program-program Institusi Pengajian Tinggi (IPT) awam tempatan dengan universiti-universiti luar negara juga diatur.

Dalam pada itu, Bandar Raya Miri juga akan menjadi tuan rumah Seminar Kecekapan Tenaga Peringkat Negeri Sarawak pada bulan depan.

Dijangkakan seramai 200 peserta menyertai program berkenaan yang terdiri daripada kakitangan kerajaan negeri dan badan bukan kerajaan Sarawak.

Ia bertujuan untuk mendidik serta memberi kesedaran kepada rakyat agar mengamalkan kecekapan tenaga dalam kehidupan seharian.