Teksi Air di Sungai S’wak bermula Jun ini: Abang Jo

0

KUCHING: Kemudahan pengangkutan Teksi Air di Sungai Sarawak dijangka memulakan operasinya pada Julai ini dengan menggunakan tiga buah bot sebagai permulaan kata Menteri Perumahan dan Pembangunan Bandar Datuk Amar Abang Johari Tun Openg.Menurut beliau, ia merupakan sebahagian daripada pendekatan untuk memberi khidmat pengangkutan awam selain jalan darat dan pada masa yang sama mengurangkan kesesakan lalu lintas.

“Ia juga memberi satu lagi pilihan pengangkutan kepada orang awam khususnya kepada masyarakat di bandar raya Kuching dan sebagai produk pelancongan yang boleh dijadikan satu tarikan dalam industri pelancongan,” katanya pada sidang media di Wisma Sultan Tengah di Petra Jaya di sini, semalam.

Beliau memberitahu tiga buah bot berkenaan terdiri daripada tiga kategori iaitu bot untuk lima orang penumpang, 10 penumpang dan 15 orang penumpang yang akan membuat laluan dari Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) ke Pasar Satok Baru (di Kubah Ria) dan akan dibina tidak lama lagi.

Menggunakan tiga bot sebagai permulaan kata beliau adalah untuk melihat respon pengenalan teksi air berkenaan dan juga respon pasaran, sekiranya ia memberangsangkan maka ia dibuka kepada pengusaha atau mereka yang berminat untuk turut sama.

“Teksi air ini menggunakan reka bentuk yang selamat serta pengangkutan mesra pelanggan dan kita akan membina lima hingga lapan jeti perhentian untuk teksi air ini nanti.

“Pembinaan jeti di BCCK kini sedang dijalankan dan selebihnya kini masih dalam pembinaan yang dijangka akan siap dalam masa terdekat,” kata beliau sambil memberitahu jarak BCCK ke Pasar Satok kira-kira 10 batu nautika.

Abang Johari berkata, satu jawatankuasa telah ditubuhkan yang dipengerusikan Setiausaha Tetap Kementerian Perumahan dan Pembangunan Bandar yang akan dianggotai Lembaga Sungai-sungai Sarawak (LSS), Jabatan Marin, IDEAS di bawah Institut Reka Bentuk dan Jawatankuasa Pelancongan Satok.

“Mereka ini akan memantau dan melihat kaedah yang terbaik bagi memperkenalkan teksi air malah mereka juga memberi satu tugasan baru iaitu dengan menganjurkan satu pertandingan mereka bentuk bot yang lebih kreatif bagi teksi air nanti.

“Orang ramai dialu-alukan untuk menyertai pertandingan dengan memperkenalkan reka bentuk baru serta menarik selain daripada perahu tambang yang kita sedia ada,” kata beliau.

Tegasnya, pertandingan berkenaan hanya memakan jangka masa yang pendek sahaja dan kementerian akan memperuntukkan bajet bagi tujuan berkenaan dan mampu didapatkan serta akan dinilai oleh jawatankuasa yang telah ditubuhkan.

Mengulas mengenai tambang teksi air berkenaan, Abang Johari berkata, ia akan ditetapkan oleh jawatankuasa sendiri dan ia berkemungkinan mempunyai tambang yang berbeza mengikut stesen perhentian.

Ditanya sama ada perahu tambang yang sedia ada masih beroperasi, beliau memberitahu ia akan berjalan seperti biasa namun pihaknya juga turut mengalu-alukan sekiranya ada di antara mereka berminat untuk menyertai teksi air terbabit.

“Ia adalah ‘ekonomi terbuka’ namun sekiranya mereka tidak berminat mereka juga boleh keluar dengan idea yang lebih kreatif untuk perahu tambang dengan mereka bentuk perahu tambang yang lebih besar, kreatif dan menarik, sekurang-kurangnya mereka mempunyai peningkatan,” katanya.

Perahu tambang sedia ada beroperasi di Sungai Sarawak katanya kini kurang daripada 100 buah dan mempunyai hanya tiga pangkalan utama iaitu Pangkalan Sapi, Kampung Boyan dan Kampung Tanjung.

Terdahulu Abang Johari menghadiri taklimat oleh LSS dan agensi-agensi berkaitan dengan Sungai Sarawak mengenai pengenalan teksi air.

Hadir sama dua Menteri Muda Perumahan dan Pembangunan Bandar Datuk Dr Soon Choon Teck dan Abdul Wahab Aziz serta kakitangan daripada LSS.