Lelaki ditangkap disyaki terlibat dengan penipuan melalui internet

0

SIBU: Pihak polis di sini telah berjaya menangkap seorang lelaki berusia lingkungan 30-an kerana dipercayai terlibat dalam kes penipuan melalui internet pada petang Rabu, lepas.Difahamkan suspek telah diberkas di sekitar bandar ini atas maklumat orang ramai.

Di bahagian ini, gejala penipuan melalui internet telah mencatatkan empat kes seperti yang dilaporkan pada tahun lalu.

Tiga orang wanita dan seorang lelaki difahamkan telah menjadi mangsa kes terbabit yang turut melibatkan kerugian wang ringgit sehingga ada yang mencecah lebih RM60,000.

Berdasarkan siasatan awal pihak polis sebelum ini, sindiket penipuan terbabit dikatakan telah memperdayakan mangsanya dengan pemberian hadiah berbentuk wang tunai dan lain-lain sebagai tanda permulaan perkenalan.

Bagi menuntut hadiah wang tunai terbabit, mangsa dikehendaki membayar sejumlah wang bagi kos penghantaran.

Suspek kemudian dibawa ke Balai Polis Sentral di sini untuk membantu siasatan dan dikenakan tahanan reman selama empat hari.

Selain itu, dua orang suspek lelaki telah diberkas di sekitar pusat bandar ini pada pagi kelmarin kerana terlibat dalam sindiket penipuan mencari pekerjaan.

Kedua-dua suspek terbabit dipercayai bertindak sebagai ejen pencari pekerjaan untuk bekerja di luar negara serta dikatakan turut mengenakan bayaran RM300 sebagai komisen kepada pemohon.

Kedua-dua suspek kemudian dibawa ke balai polis untuk membantu siasatan dan difahamkan turut dikenakan tahanan reman selama empat hari.