Tuesday, November 24

Idris tidak mahu sertai mana-mana parti politik

0

KUCHING: Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk Seri Idris Jala (gambar) tetap dengan pendiriannya tidak akan menyertai mana-mana parti politik.

Idris ketika ditemui pemberita di sini semalam, memberitahu adalah penting baginya untuk terus kekal neutral dan bukan milik mana-mana parti.

“Saya bukan ahli mana-mana parti politik dan penting bagi saya untuk kekal demikian (neutral).

“Saya juga tidak berhasrat untuk menyertai mana-mana parti politik kerana saya bukan seorang ahli politik.

“Saya di sini adalah untuk menggerakkan kemajuan dan memastikan mempunyai sumbangan terhadap masyarakat,” katanya.

Idris yang juga merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU) berkata beliau juga tidak berhasrat untuk menyertai bidang politik.

Menurut Idris, beliau komited sepenuhnya kepada usaha menyumbang dengan apa juga cara yang mampu ikhtiarkan.

Beliau berkata kehadirannya dalam kabinet adalah untuk membantu mengembangkan proses pembangunan serta memastikan kepentingan rakyat terjaga.

Sekiranya beberapa transformasi berjaya dilakukan, katanya ia merupakan satu pencapaian yang cukup baik.

Beliau berasa amat bertuah atas pelantikannya oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Ogos tahun lalu untuk menyertai kabinet walaupun tidak mewakili mana-mana parti.

Sementara itu, ketika ditanya pemberita sama ada Bario akan mendapat lebih peruntukan memandangkan beliau sekarang menteri persekutuan penuh, beliau berkata orang ramai tidak harus berkata sedemikian.

Beliau berkata projek-projek khususnya pembangunan infrastruktur harus berasaskan kriteria objektif termasuk faktor keperluan.

“Lihat Bario, ia kecil dan tidak mempunyai ramai penduduk. Saya tidak boleh berbuat demikian hanya kerana saya berasal dari Bario dan wang mesti disalurkan ke sana,” katanya.

Mengenai Bario, tambahnya beliau percaya mereka akan membelanjakan wang pada jalan dari Lapangan Terbang hingga ke Bario Asal dan akan menambah jalan dalaman.

Tetapi, katanya pembinaan jalan Marudi dan Bario tidak dapat dilaksanakan.

“Bagaimana kita boleh menjelaskan perbelanjaan berbilion ringgit hanya untuk segelintir penduduk yang kecil di sana. Bario diberkati dengan pesawat yang terbang ke sana,” katanya.