Pemain Sarawak ‘kalah bulu’?

0

Zaki bingung memikirkan apa yang bermain dalam  kiran anak-anak buahnya

KUCHING: Kekalahan teruk 1-4 di tangan Felda United pada Jumaat lepas di Cheras, Kuala Lumpur telah mendedahkan hakikat sebenar tentang kurangnya keyakinan diri di kalangan pemain-pemain Sarawak ketika berdepan pasukan yang lebih berpengalaman di gelanggang lawan.Kekalahan ‘mengaibkan’ itu sememangnya mengecewakan kebanyakan para peminat bola sepak tempatan memandangkan skuad negeri mempamerkan prestasi yang memberangsangkan pada perlawanan pertama mereka dalam Liga Perdana musim ini ketika menentang Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Stadium Sarawak pada 11 Januari lalu.

Dengan kekalahan ini, Sarawak menduduki dua anak tangga tercorot dengan mengumpul satu mata ketika Felda United yang sarat dengan pemain-pemain bertaraf bintang cuma ketinggalan dua mata di belakang peneraju liga, Selangor PKNS.

Ketua jurulatih Sarawak, Mohd Zaki Shaikh Ahmad, dalam satu sidang media yang diadakan di Stadium Sarawak semalam, tidak tahu bagaimana hendak merumuskan ‘kekalutan’ prestasi yang melanda anak-anak buahnya di Cheras Jumaat lepas.

Walau bagaimanapun, beliau tidak menolak satu rumusan yang dibuat oleh seorang wartawan bahawa anak-anak buahnya sebenarnya ‘kalah bulu’ atau naik kecut ketika berdepan lawan yang lebih gah pada malam itu.

“Semuanya bagus sahaja namun sebaik sahaja kami tiba di stadium lawan, suasana tibatiba berubah seolah-olah para pemain sedang meratapi kematian seseorang,” katanya.

Beliau mengakui cuba menyemarakkan semangat pemain-pemainya itu namun segala usahanya tidak membuahkan hasil. Beliau juga cuba mengenal pasti apa yang tidak kena dengan prestasi hambar anak-anak buahnya dalam perlawanan itu namun menemui jalan buntu.

Justeru itu, beliau menegaskan kepentingan untuk mengetahui apa yang sebenarnya bermain dalam fikiran pemain-pemainnya jika ingin mengelakkan insiden sama berulang pada perlawanan-perlawanan yang seterusnya.

Ironinya, kata Zaki, anakanak buahnya mempamerkan prestasi yang lebih baik pada separuh masa kedua ketika mereka sudah pun ketinggalan empat gol di belakang. Usaha serta semangat juang yang ditunjukkan Sarawak itu dibuktikan dengan gol saguhati yang dijaringkan oleh Zamri Morshidi.

Apapun, Zaki yakin dengan kemampuannya untuk menyemarakkan semangat juang Sarawak dalam misi memburu tiga mata ketika menentang Selangor PKNS di Stadium Sarawak malam ini (Isnin).

Malah beliau menyeru anak-anak buahnya untuk membalas dendam ke atas pasukan yang pernah menyingkirkannya pada 2004 setelah beliau membantu pasukan terbabit bermain dalam Piala Malaysia selain melangkah ke peringkat separuh akhir Piala FA.

“Saya dipecat oleh (Selangor) PKNS pada 2004 biarpun pasukan sudah melayakkan diri ke Piala Malaysia dan juga ke separuh akhir Piala FA,” katanya sambil mengharapkan pemain-pemainnya akan menyahut seruannya untuk membalas dendam bagi dirinya.

Ditanya sama ada beliau mendapat tekanan daripada pihak pengurusan pasukan untuk menang malam ini, beliau menegaskan tumpuannya hanyalah untuk membantu pasukan Sarawak layak ke Piala Malaysia dan segalanya terserah kepada dirinya bagaimana hendak mencapai sasaran itu.

Perlawanan Sarawak menentang PKNS akan bermula jam 8.15 malam ini di Stadium Sarawak dan para peminat setia bola sepak tempatan diseru datang beramai-ramai bagi memberi sokongan padu dalam misi skuad negeri memburu kemenangan malam ini.