Tony Eusoff, Diana Johor saman Gulatis guna gambar mereka tanpa kebenaran

0

KUALA LUMPUR: Selepas pelakon Eja dan model Zahnita Wilson, semalam dua model dan pelakon pula memfailkan saman terhadap Gulatis Exclusive Sdn Bhd kerana didakwa menggunakan gambar mereka di kain rentang bagi tujuan promosi syarikat tekstil itu tanpa kebenaran.Tony Eusoff atau nama sebenarnya Anthony Joseph Hermas Rajiman, dan Diana Johor atau nama sebenarnya Diana Johor Zainal Abidin, masing-masing menuntut ganti rugi am RM500,000 daripada Gulatis.

Tony, 33, dan Diana, 29, yang hadir di mahkamah, memfai lkan saman itu di pejabat pendaftaran Mahkamah Tinggi di sini melalui Tetuan A.R.Effande & Partners.

Dalam pernyataan tuntutan itu mereka mendakwa Gulatis tidak pernah meminta kebenaran mereka untuk menggunakan gambar mereka di kain rentang untuk promosi perniagaan syarikat itu.

Mereka mendakwa Gulatis menggunakan gambar mereka sejak 2008 sehingga sekarang tanpa pengetahuan mereka.

Mereka berkata akibat perbuatan syarikat itu, mereka merasakan hak peribadi mereka telah dicerobohi dan disalahgunakan demi kepentingan syarikat itu.

Tony dan Diana berkata mereka tahu mengenai gambar mereka di kain rentang itu apabila diberitahu oleh rakan mereka pada 24 Sept 2008.

Empat hari selepas itu, mereka membuat pemeriksaan ke premis perniagaan Gulatis dan mendapati memang gambar mereka dipamerkan di kain rentang di hadapan premis perniagaan syarikat.

Pada 19 Feb, 2009, peguam mereka telah menghantar notis tuntutan kepada Gulatis dan menuntut ganti rugi tetapi tidak mendapat sebarang maklum balas. Mereka berkata perbuatan Gulatis itu telah menyebabkan mereka kerugian daripada hasil royalty atau pampasan yang sepatutnya diperoleh melalui gambar mereka yang digunakan sebagai iklan syarikat itu.

Tony dan Diana juga menuntut ganti rugi teladan, faedah pada kadar lapan peratus setahun, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Ketika ditanya mengapa mereka lewat memfailkan saman sedangkan perkara itu mereka tahu sejak 2008, peguam Ahmad Rizal Effande yang mewakili Tony dan Diana, berkata ini kerana mereka perlu mengumpul bukti berkaitan kes itu. Pada 9 Dis 2009, Gulatis diperintah membayar RM20,000 kepada Eja atau nama sebenarnya Siti Sharizah Saifuddin, 37, setelah Mahkamah Sesyen mendapati syarikat itu telah melanggar perjanjian lisan dipersetujui dengan pelakon itu berhubung penggunaan wajah Eja di poster dan iklan syarikat itu. — Bernama