Operasi cegah jenayah dipertingkat

0

Polis Miri beri jamian itu demi menjaga keselamatan orang awam terutama menjelang perayaan Tahun Baru Cina

MIRI: Polis Miri memberi jaminan akan mempertingkatkan lagi operasi cegah jenayah di bahagian ini demi menjaga keselamatan orang awam terutama menjelang perayaan Tahun Baru Cina tahun ini.Ketua Polis Daerah Miri Asisten Komisioner Polis (ACP) Jamaluddin Ibrahim berkata operasi tersebut termasuk mengadakan rondaan lebih kerap di kawasan pusat bandar dan juga taman perumahan.

“Kita akan mempertingkatan operasi cegah jenayah dari semasa ke semasa termasuk mengadakan rondaan yang lebih kerap di beberapa kawasan yang kerap berlaku kegiatan jenayah,” ujarnya ketika dihubungi Utusan Borneo semalam.

Menurut Jamaluddin, operasi seperti itu diadakan untuk membanteras kegiatan jenayah dan pada masa sama mewujudkan persekitaran yang selamat dan harmoni kepada orang awam.

“Di samping itu, kita juga ingin mendidik orang ramai supaya sentiasa menitikberatkan soal keselamatan diri dan harta benda mereka terutama ketika pulang bercuti sempena perayaan Tahun Baru Cina yang bakal menjelang tidak lama lagi,” katanya.

Katanya, maklumkan kepada jiran tetangga sekiranya mereka meninggalkan rumah untuk pulang ke kampung sempena musim perayaan ini.

Selain itu, Jamaluddin turut menggesa orang ramai supaya sentiasa bekerjasama dengan pihak polis dalam membanteras kegiatan jenayah dengan melaporkan sebarang kegiatan jenayah yang berlaku di kawasan mereka.

“Segera hubungi pihak polis sekiranya ternampak individu yang mencurigakan di kawasan anda dan jangan beri ruang kepada jenayah berlaku di tempat anda,” katanya.

Ditanya mengenai Ops Sikap, Jamaluddin berkata pihaknya hanya menunggu arahan daripada pihak Bukit Aman untuk melakukan operasi tersebut.

“Pada masa sama, kita turut melakukan rondaan biasa untuk memastikan keselamatan semua pengguna jalan raya dan memastikan mereka sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas sedia ada,” katanya.