SPDP lakukan rombakan kecil

0

Mesyuarat MT SPDP semalam melantik Nelson Balang sebagai Setiausaha Agung gantikan Sylvester Entri

AHLI BARU: Mawan (tengah) semasa mengumumkan ahli-ahli Majlis Tertinggi SPDP. Turut kelihatan Nyarok (kiri) dan Jacob (kanan) serta ahli-ahli SPDP.

AHLI BARU: Mawan (tengah) semasa mengumumkan ahli-ahli Majlis Tertinggi SPDP. Turut kelihatan Nyarok (kiri) dan Jacob (kanan) serta ahli-ahli SPDP.

KUCHING: Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP) yang berlangsung semalam mengambil keputusan melantik Nelson Balang Rining sebagai Setiausaha Agung menggantikan Sylvester Entri Muran.

Balang dipilih sebagai Naib Presiden Kanan II semasa Perhimpunan Agung Tiga Tahunan (TGA) parti berkenaan bulan lepas.

Presiden SPDP Dato Sri William Mawan Ikom dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat itu semalam memberitahu Entri telah dilantik ke jawatan Naib Presiden bersama Rosey Yunus.

Selain itu, Mawan turut mengumumkan senarai ahli untuk jawatan-jawatan dalam Majlis Tertinggi tersebut.

Antaranya ialah jawatan Timbalan Setiausaha Agung disandang oleh Paul Igai, Timbalan Bendahari Agung Senator Pau Chung Ung, Ketua Penerangan Paulus Palu Gumbang dan tujuh ahli biasa iaitu Joseph Wong, Paul Toynbee, Jackson Lintang, Albert Klinsing, Kapten Zainnuddin Hamdan, Maslinda Hamidon dan Kaunselor Lawas.

“Mereka telah dilantik untuk jawatan masing-masing oleh presiden selepas rundingan dengan ahli-ahli Majlis Tertinggi.

“Kita berharap dengan barisan dan struktur baru ini, kita dapat melengkapkan diri dan membuat persiapan untuk meningkatkan kerjasama dengan parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) yang lain bagi menghadapi pilihan raya negeri akan datang,” katanya.

Mawan yang menyifatkan perubahan dalam MT itu sebagai pertukaran jawatan, meminta calon-calon yang bertanding menerima sebaiknya keputusan tersebut.

“Mungkin ada yang tersinggung mengenai keputusan ini, tetapi seperti yang saya katakan sebelum ini, ia berkaitan dengan tanggungjawab dan bukannya mengikut kehendak.

“Saya berharap semua pihak memahami bahawa apa yang dilakukan adalah untuk kebaikan ahli dan parti dan bukannya untuk mempromosikan status dan kepentingan peribadi,” ujarnya.

Justeru, beliau berkata SPDP komited kepada strategi jangka panjang yang holistik untuk membentuk pasukan dan mempromosikan status berpasukan bagi menjamin kerjasama dengan parti-parti komponen BN yang lain.

Sementara itu, media difahamkan bahawa beberapa ahli tidak gembira dengan keputusan pelantikan itu dan beberapa ahli kelihatan meninggalkan mesyuarat lebih awal.

Antara yang kelihatan balik awal adalah Entri, Datuk Dr Tiki Lafe (Naib Presiden III), Paulus Palu Gumbang dan Rosey Yunus.

Selain itu, Mawan memberitahu mesyuarat tersebut turut memutuskan penubuhan dua jawatankuasa berasingan sebagai tindakan susulan untuk menangani perkara-perkara yang dibangkitkan semasa TGA lepas.

“Antaranya ialah jawatankuasa untuk mengkaji pelbagai ketetapan yang telah dikemukakan oleh pelbagai cawangan yang ditubuhkan sempena TGA.

“Jawatankuasa sedia ada pula mengemas kini pindaan kepada perlembagaan yang telah disokong sepenuhnya oleh TGA dan jawatankuasa kerja…dan kita seterusnya akan mengemukakannya kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS),” katanya.

Hadir sama Timbalan Presiden SPDP Datuk Peter Nyarok Entrie dan Naib Presiden Kanan SPDP Datuk Jacob Dungau Sagan.