Sarawak perlu banyak peruntukan untuk laksana banyak inisiatif ICT

0

LUNDU: Sarawak masih memerlukan lebih banyak peruntukan daripada kerajaan persekutuan untuk melaksanakan lebih banyak inisiatif Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) kata Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.Menurut beliau ia bagi merapatkan lagi jurang digital di negeri ini agar tidak ketinggalan dalam menikmati kemudahan memandangkan Sarawak negeri terbesar di Malaysia dan memerlukan bantuan daripada kerajaan persekutuan terutamanya dalam program ICT.

“Sarawak merupakan negeri yang mempunyai geografi yang besar berbanding negeri lain di Malaysia dan kita amat memerlukan kerjasama daripada kerajaan persekutuan bagi mencapai matlamat kerajaan iaitu 50 peratus pencapaian penembusan jalur lebar pada penghujung tahun 2010 di seluruh negara,” katanya berucap dalam Majlis Pelancaran MyIX dan Pusat Jalur Lebar Komuniti (PJK) Peringkat Negeri di Dewan Masyarakat Lundu, di sini semalam.

Malah kerajaan negeri kata beliau dalam usaha merapatkan jurang digital bandar dan luar bandar telah melancarkan Inisiatif Jalur Lebar Luar Bandar Sarawak (SRBI) agar masyarakat khasnya di luar bandar dapat menikmati kemudahan ICT sama seperti penduduk bandar.

Awang Tengah yang juga Menteri Kemudahan Awam berkata, beliau amat berharap kerajaan persekutuan bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) dan Sacofa untuk membina kira-kira 200 menara telekomunikasi di kawasan pedalaman seluruh negeri bagi tujuan kemudahan ICT.

“Pada masa ini Sarawak mempunyai 500 menara telekomunikasi bagi menyokong inisiatif ICT di Sarawak dan untuk mencapai matlamat penembusan jalur lebar kita memerlukan lebih banyak menara khasnya di kawasan pedalaman,” katanya.

Majlis Pelancaran MyIX dan Pusat Jalur Lebar Komuniti (PJK) semalam disempurnakan oleh Menteri Penerangan, Komunikasi, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim.

Selain itu Rais juga turut berkomunikasi secara langsung melalui sidang video dengan MyIX di Kuala Lumpur serta PJK di Julau bersama Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Joseph Salang Gandum.

Hadir sama Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Datu Datuk Amar Adenan Satem, ADUN Opar Ranum Mina dan Pengerusi SKMM Tan Sri Khalid Ramli serta isteri Rais, Datin Seri Masnah Rais.