Basmi kemiskinan di bandar melalui AIM

0

Program Kewangan Mikro Bandar AIM beri peluang jalankan perniagaan kecil-kecilan

KUANTAN: Kerajaan berhasrat membasmi kemiskinan di kalangan penduduk di bandar terutamanya miskin tegar melalui program Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.Katanya Program Kewangan Mikro Bandar AIM akan memberi peluang kepada golongan berpendapatan rendah menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan.

“Kerajaan sedar sebahagian besar daripada golongan miskin dan berpendapatan rendah di bandar tidak berupaya meningkatkan taraf hidup mereka kerana tidak mempunyai modal cukup kerana kesukaran mendapatkan pembiayaan daripada institusi kewangan formal memandangkan ketiadaan pekerjaan tetap.

“Apatah lagi mereka tidak mempunyai sumber untuk dijadikan cagaran dan jauh sekali memiliki rekod kredit. Jadi mikro kredit yang disediakan AIM adalah harapan bagi mereka mendapatkan sumber kewangan untuk menjalankan aktiviti ekonomi,” katanya ketika berucap merasmikan Program Kewangan Mikro Bandar Cawangan Kuantan di sini semalam.

Beliau berkata Program Kewangan Mikro Bandar itu boleh membantu menghapuskan kadar kemiskinan sebanyak dua peratus dan kemiskinan tegar 0.3 peratus di bandar.

Katanya Skim Kewangan Mikro AIM telah membolehkan banyak isi rumah miskin dan golongan berpendapatan rendah melibatkan diri dalam kegiatan ekonomi yang produktif dan menyumbang kepada kejayaan negara mengurangkan kadar kemiskinan, dengan lebih 230,000 keluarga miskin mendapat manfaat pembiayaan melebihi RM3.65 bilion, sehingga kini.

Nor Mohamed berkata prestasi bayaran balik pinjaman juga cemerlang iaitu pada tahap 99 peratus.

Kerajaan juga akan menggalakkan lebih banyak institusi kewangan menyediakan kemudahan kredit mikro bagi memberi peluang kepada peniaga-peniaga kecil mempunyai lebih akses kepada kemudahan pembiayaan, katanya.

Sehingga tahun lepas, sebanyak RM2 bilion kredit mikro disediakan oleh agensi kerajaan, bank pembangunan dan bank komersial. — Bernama