Tabung rayuan gempa Haiti: IRM sasar kutipan RM250,000

0

KUALA LUMPUR: Pertubuhan amal Islamic Relief Malaysia (IRM) semalam melancarkan tabung dan kutipan bergerak bagi membantu mangsa gempa bumi di Haiti dengan sasaran RM250,000 dalam masa sebulan bermula semalam.Pengarah IRM Zawahir Abdullah berkata selain menyediakan sebuah van kutipan dana bergerak, pihaknya juga meletakkan tabung di 22 buah premis badan korporat.

“Van kutipan itu akan membawa sukarelawan 1Malaysia IRM ke lokasi-lokasi seperti pusat membeli-belah, rangkaian restoran dan stesen minyak bagi memudahkan orang ramai menghulurkan bantuan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Tabung Rayuan Gempa Haiti di Wisma Bernama (Pertubuhan Berita Nasional Malaysia), di sini semalam.

Langkah itu kata beliau, diharap dapat menambah jumlah kutipan yang agak perlahan sebelum ini berbanding tabung bencana lain yang pernah mereka lancarkan seperti tabung bantuan kemanusiaan Gaza dan Aceh.

Sementara itu Pengurus Besar Bernama Hasnul Hassan  yang turut hadir berkata, agensi berita nasional itu akan membantu daripada segi memberi publisiti mengenai tabung tersebut.

“Ini merupakan salah satu daripada tanggungjawab sosial yang kami lakukan bukan sahaja memberi publisiti malah kami akan turut mengutip dana dari setiap pejawat Bernama seperti yang pernah kami lakukan sebelum ini,” katanya.

Antara yang telah menyatakan persetujuan bagi menempatkan tabung itu di premis masing-masing ialah Pusat Membeli Belah Subang Parade, Universiti Tenaga (UNITEN), dan beberapa badan korporat iaitu L’Oreal Malaysia, Awana Genting Highland Golf & Country Resort, RapidKL, Gloria Jeans Coffee, Gedung Mydin, Pusat Membeli Belah One Utama dan Hotel Istana. — Bernama