Penduduk Kg Bulau syukuri projek jambatan gantung

0

MIRI: Ratusan penduduk Kampung Bulau, Bekenu bersyukur selepas kerajaan telah melaksanakan projek pembinaan jabatan gantung yang menghubungkan dua kampung berhampiran.

SIAP: Rosey (kanan) semasa mengadakan lawatan di projek pembinaan jambatan gantung Kampung Bulau semalam.

SIAP: Rosey (kanan) semasa mengadakan lawatan di projek pembinaan jambatan gantung Kampung Bulau semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri Bekenu, Rosey Yunus berkata penduduk di dua kampung berkenaan sebelum ini terpaksa menggunakan perahu kecil berulang alik untuk menghantar anak ke sekolah.

“Keadaan bertambah teruk sekiranya hujan lebat dan arus air deras boleh membahayakan nyawa penumpang. Sehubungan itu, masalah ini dianggap selesai selepas projek pembinaan jambatan gantung Kampung Bulau siap sepenuhnya,” katanya kepada Utusan Borneo semalam.

Rosey juga menjelaskan, pembinaan jambatan gantung yang menelan belanja RM150,000 itu bukan sahaja hadiah kerajaan kepada rakyat sebaliknya menandakan keprihatinan kerajaan akan masalah rakyat.

“Pembinaan jambatan gantung ini menandakan kerajaan prihatin dengan keperluan rakyat malahan projek ini sememangnya ditunggu-tunggu oleh penduduk di kawasan ini,” katanya.

Pada masa sama, penduduk di kawasan itu dinasihatkan supaya menggunakan serta menjaga kemudahan itu dengan sebaik mungkin bagi mengelakkan ia menjadi mangsa vandalisme.

“Penduduk Kampung Bulau harus memastikan jambatan gantung ini dijaga dengan rapi serta memastikan anakanak yang berulang alik ke sekolah melalui jambatan ini dipantau rapi,” katanya.

Sementara itu, Rosey juga turut menasihatkan supaya ketua-ketua kaum atau Tuai Rumah (TR) bekerjasama dengan kerajaan supaya agenda pembangunan dapat direncanakan bersama.

“Bagi memudahkan lagi projek-projek pembangunan dilaksanakan dengan lebih rapi dan terancang, ketua kaum perlu memastikan keperluan penduduk di kawasan mereka diusulkan kepada kerajaan,” katanya.

Sebelum itu, Rosey berkesempatan bertemu penduduk Kampung Bulau serta melihat sendiri projek jambatan gantung yang sudah siap dan mulai dibuka kepada penduduk setempat sejak sebulan lalu.

Dalam lawatan itu juga, Rosey turut meluluskan pemberian geran Projek Kecil Pembangunan Luar Bandar (MRP) berjumlah RM10,000 untuk membina tempat memasak Balai Masyarakat Kampung Bulau.