Hull pastikan Chelsea tersandung

0

Skuad Ancelotti terpaksa kongsi mata selepas Drogba jadi penyelamat

HULL, England: Didier Drogba meraikan kepulangannya kepada tugas dalam Liga Perdana Inggeris dengan gol penyamaan pada separuh masa pertama di Stadium KC untuk memadamkan jaringan Stephen Mouyokolo pada malam yang mengecewakan bagi skuad Chelsea yang dibimbing oleh Carlo Ancelotti.Drogba menjaringkan gol ke-20 beliau pada musim ini pada minit ke-43 untuk menyamakan kedudukan bagi pendahulu Liga Perdana Inggeris itu selepas pemain pertahanan Hull, Mouyokolo meletakkan skuad bimbingan Phil Brown di hadapan dengan gol pertama beliau bersama kelab bermasalah terbabit.

Walaupun Drogba menyelamatkan keadaan, ia tidak memadai untuk membantu Chelsea mencatatkan kemenangan yang amat mereka perlukan bagi mengembalikan kelebihan empat mata mereka ke atas Manchester United di persada liga.

Kelab London itu sekarang mendahului dengan hanya kelebihan dua mata sahaja dan pengurus United, Sir Alex Ferguson pasti berterima kasih kepada Hull kerana mengikat musuh utamanya itu dengan keputusan seri untuk membuka luas perebutan kejuaraan.

Ancelotti menurunkan semula Drogba buat pertama kali sejak beliau menyertai Piala Negara-Negara Afrika empat minggu lalu, manakala dua pemain antarabangsa England, Joe Cole dan Ashley Cole, terpaksa berpuas hati dengan tempat di bangku pemain simpanan.

John Terry turut mengekalkan tempatnya dalam pasukan itu walaupun menerima tekanan untuk meletak jawatan sebagai kapten England ekoran masalahnya di luar padang, manakala Deco dipanggil semula untuk memulakan perlawanan dengan barisan pemain utama.

“Kami berada dalam kedudukan yang baik sekarang. Kami berada di kemuncak liga. Kami sedar Manchester United sangat bagus dan ia adalah perlumbaan yang lama sehingga ke akhir musim,” akui Ancelotti.

“Kami gembira kerana masih mendahului dengan dua mata. Ini adalah satu peluang tetapi adalah mustahil untuk memenangi setiap perlawanan. Itu lumrah bola sepak.”

Sementara itu, Brown melakukan hanya satu pertukaran ke atas pasukan yang diikat seri oleh Wolves pada hujung minggu lepas, dengan memanggil semula Craig Fagan di sayap kanan menggantikan tempat Bernard Mendy.

Pengurus Hull itu menangkis godaan untuk memberikan peluang pertama sepenuhnya kepada pemain yang baru dipinjamkan, Amr Zaki.

Hull sudah bermain dalam sembilan perlawanan tanpa sebarang kemenangan dan mendapati diri kukuh dalam zon penyingkiran. Memandangkan Manchester City adalah pelawat seterusnya ke Stadium KC, masa depan kelihatan suram.

Biarpun demikian, Chelsea terus Menghadapi masalah untuk mencari rentak mereka dari permulaan perlawanan sekali gus memudahkan lagi keadaan buat Hull.

Frank Lampard menguji Boaz Myhill dengan rembatan melencong selepas sembilan minit perlawanan bermula yang hanya dapat ditolak keluar oleh penjaga gol Hull itu kepada Nicolas Anelka tetapi tendangan penyerang Perancis itu tersasar jauh dengan gawang gol ternganga luas.

Hanya pada minit ke-24 barulah Chelsea mengancam semula bila Branislav Ivanovic menghantar bola lintang yang sempurna kepada Michael Ballack tetapi pemain tengah Jerman itu hanya dapat menanduk bola terus kepada Myhill dari jarak dekat.

Semakin lama perlawanan berlangsung, Hull kelihatan bertambah yakin tetapi ia masih mengejutkan bila mereka menjaringkan gol pendahuluan dengan serangan serius mereka yang pertama dalam perlawanan itu.

Terry langsung tidak kelihatan semasa Stephen Hunt melakukan tendangan sudut dan Mouyokolo melompat paling tinggi untuk menanduk masuk bola melepasi Petr Cech yang tidak dapat berbuat apa-apa.

Namun kelebihan Hull senantiasa kelihatan rapuh dan ia bertahan hanya selama 13 minit sebelum Drogba menyamakan kedudukan dengan tendangan percuma yang kencang ke sudut bawah gol Myhill.

Hull berpeluang meletakkan diri di hadapan sekali kali sejurus sebelum waktu rehat apabila tendangan percuma Tom Cairney menjumpai kepala Anthony Gardner yang tidak dikawal, tetapi pemain pertahanan itu hanya dapat mensasarkan usahanya melepasi palang gol.

Namun begitu, Chelsea sering mengancam dan Myhill terpaksa bermain cemerlang untuk memastikan jaringan terikat dengan dua usaha cantik untuk menyelamatkan gol sebelum sejam perlawanan berlangsung.

Beliau turut menolak keluar tendangan rendah daripada Florent Malouda sebelum menyelamatkan bola yang lebih berbahaya daripada tandukan deras Drogba yang menerima hantaran silang daripada Malouda untuk membolehkan anak-anak buah Brown membawa pulang satu mata yang jauh lebih bermakna bagi mereka berbanding Chelsea. — AFP