Jankovic tiada masalah atasi Wozniacki

0

INDIAN WELLS, California: Bekas pemain nombor satu dunia, Jelena Jankovic memulakan musim 2010 pada Ahad lepas dengan kemenangan selesa ke atas Caroline Wozniacki untuk menjulang kejuaraan WTA Indian Wells di sini.

MENYINAR KEMBALI: Jelena Jankovic bergambar bersama trofi kejuaraan selepas menewaskan Caroline Wozniacki pada perlawanan akhir WTA Indian Wells di California, 21 Mac lepas. — Gambar AFP

MENYINAR KEMBALI: Jelena Jankovic bergambar bersama trofi kejuaraan selepas menewaskan Caroline Wozniacki pada perlawanan akhir WTA Indian Wells di California, 21 Mac lepas. — Gambar AFP

Jankovic tidak melakukan banyak kesilapan apabila menewaskan lawannya dari Denmark 6-2 dan 6-4 untuk memenangi kejuaraan ke-12 dalam kerjayanya dan yang pertama sejak di Cincinnati pada bulan Ogos tahun lepas.

“Ia merupakan dua minggu yang hebat bagi saya, sesuatu yang benar-benar luar biasa,” kata Jankovic. “Saya sangat gembira kerana dapat memenangi kejuaraan ini.”

Jaguh Serbia itu memulakan kejohanan sebagai pemain ranking kesembilan dunia dan juga pilihan keenam kejohanan sementara Wozniacki adalah pemain ranking keempat dunia dan diletakkan sebagai pilihan kedua.

Tetapi kedua-dua wanita tidak mencuri tumpuan setakat musim ini, dengan kedua-duanya gagal melangkah ke suku akhir sebelum kejohanan di sini.

Jankovic tiba di Indian Wells ekoran penyingkiran pada pusingan pertama di Monterrey, di mana beliau merupakan pemain pilihan pertama kejohanan.

Beliau juga bergelut di sini, dipaksa bekerja keras pada pusingan ketiga sebelum menewaskan Sara Errani.

Selepas itu, beliau dapat meningkatkan fokus, mengurangkan kesilapan dan mengubah beberapa latihan baik semasa latihan ke dalam perlawanannya.

“Dalam latihan saya berasa sangat selesa. Saya merasakan pukulan saya bagus dan pergerakan kaki juga lebih baik,” katanya.

Beliau memaksa Wozniacki bermain secara bertahan pada awal permainan apabila mendahului 4-0 pada set pertama sebelum Wozniacki merapatkan kedudukan 4-2.

Jankovic kembali mengawal permainan dan memenangi mata set ketiga apabila pukulan padu Wozniacki terkeluar dari gelanggang.

“Saya memasuki gelanggang dengan mengetahui rancangan permainan saya,” kata Jankovic. “Saya benar-benar mahu bermain secara agresif tetapi pada masa yang sama saya harus bersabar dan tidak terlalu tergesa-gesa melakukan pukulan.

“Saya menunggu peluang dan menyempurnakannya jika ia muncul.”

Beliau mengekalkan rentak dengan mendahului awal dalam set kedua juga. Kali ini Wozniacki memberikan tentangan yang lebih kuat tetapi tidak mampu menyentak keyakinan Jankovic.

“Jelena bermain dengan sangat baik,” Wozniacki. “Beliau tidak melakukan ba-nyak kesilapan. — AFP