Pusat pengumpulan barangan kitar dijadikan tempat buang sampah

0

KUCHING: Pusat pengumpulan barangan kitar semula, yang menjadi pusat pembuangan bahan seperti botol plastik dan surat khabar kini disalah guna segelintir oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.Meskipun terdapat banyak pusat pengumpulan kitar semula telah dibina tetapi pusat berkenaan seolah-olah tidak dimanfaatkan sepenuhnya.

Menurut penjaga pusat pengumpulan barangan kitar semula di Taman BDC, Batil Sanai, 49, kini kebanyakan orang lebih banyak membuang sampah di pusat tersebut.

“Dahulu ramai orang membuang sampah seperti botol plastik mineral, surat khabar lama dan tin di tempat yang telah disediakan dengan cara yang betul.

“Tetapi kini kebanyakan orang membuang sampah-sarap ke pusat kitaran  secara sesuka hati,” katanya ketika ditemui Utusan Borneo di sini, semalam.

Batil turut menceritakan terdapat sampah seperti kayu-kayu dan sisa-sisa makanan yang kotor turut dibuang ke pusat pengumpulan barangan kitar semula.

Menurut Azmer Jain, 25, pusat pengumpulan barangan kitar semula tidak sepatutnya disalahgunakan untuk dijadikan tempat pembuangan sampah.

“Membuang sampah-sarap ke pusat pengumpulan kitar semula adalah tidak betul.

“Sedangkan tempat pembuangan sampah sudah disediakan oleh kerajaan,” katanya.

Azmer yang merupakan seorang pelajar institusi pengajian tinggi berharap sikap membuang sampah di tempat yang salah diubah ke arah sikap yang lebih bertanggungajawab dan bertimbang rasa.

Menurut Joseph Hawkin, 27, mereka perlu faham konsep perbezaan pusat pengumpulan kitaran semula dan tempat pembuangan sampah.

“Sikap yang tidak bertanggungjawab tersebut boleh menyebabkan kawasan premis itu menjadi kawasan pembuangan sampah,” katanya.

Joseph berharap orang ramai boleh membuang sampah-sarap di tempat yang betul  iaitu  di pusat pembuangan sampah.

“Saya juga melihat terdapat pusat pengumpulan kitar semula di tempat lain banyak telah ditutup kerana tidak ramai orang yang menghantar barangan kitar semula pada ketika ini,” katanya.