United akhirnya lerai badi Liverpool

0

Gol Park pastikan skuad Ferguson menang 2-1 dan kembali ke takhta

LONDON, England: Manchester United kembali ke tangga teratas Liga Perdana Inggeris Ahad lepas apabila pemain tengah, Park Ji-Sung memastikan kemenangan 2-1 ke atas musuh tradisi, Liverpool sementara Chelsea diikat 1-1 di Blackburn Rovers.

SENGIT: Penyerang Liverpool, Dirk Kuyh (tengah) mengasak pemain tengah Manchester United, Park Ji-Sung pada perlawanan Liga Perdana Inggeris di Old Trafford, 21 Mac lepas. United menang 2-1. — Gambar AFP

SENGIT: Penyerang Liverpool, Dirk Kuyh (tengah) mengasak pemain tengah Manchester United, Park Ji-Sung pada perlawanan Liga Perdana Inggeris di Old Trafford, 21 Mac lepas. United menang 2-1. — Gambar AFP

United ketinggalan mene-rusi gol awal Fernando Torres di Old Trafford tetapi Wayne Rooney menyamakan kedudukan selepas menolak bola muntah daripada satu tendangan penalti yang pada mulanya berjaya diselamatkan oleh penjaga gol Jose Reina sebelum gol ketiga Park musim ini memastikan tiga mata buat juara bertahan liga itu.

United sekarang dua mata di hadapan Arsenal dan empat mata di hadapan Chelsea, yang turun ke tangga ketiga, namun kurang satu perlawanan berbanding dua pasukan di hadapannya.

Di Ewood Park, Chelsea mengalami satu lagi kekecewaan selepas tersingkir daripada Liga Juara-Juara oleh Inter Milan pada Selasa lepas.

Chelsea hanya memerlukan enam minit untuk membuka jaringan menerusi gol Didier Drogba bagi gol ke-28 beliau pada musim ini.

Namun, Chelsea tidak dapat mempertahankan gol itu apabila El-Hadji Diouf menyamakan kedudukan pada minit ke-70.

“Blackburn memenangi banyak bola dan kami hilang rentak sebelum bolos gol,” kata pengurus Chelsea, Carlo Ancelotti.

“Kami masih cuba bangkit tetapi ia terlalu lewat dan saya kecewa. Kami kehilangan dua mata yang penting.”

Pada perlawanan awal, Torres membuka jaringan seawal minit kelima untuk gol ketiga dalam tiga perlawanan menentang United.

Pendahuluan Liverpool itu bagaimanapun cuma bertahan tujuh minit apabila United menyamakan kedudukan dengan gol ke-33 Rooney musim ini.

Ketika Antonio Valencia membawa bola memasuki kotak penalti Liverpool, Javier Mascherano dilihat menjatuhkan pemain sayap United itu dan pengadil perlawanan, Howard Webb tidak teragak-agak memberikan tendangan penalti.

Reina menyelamatkan tendangan penalti tetapi bola muntah kembali ke arah Rooney yang mudah menolak bola masuk ke dalam pintu gol.

United menguasai permainan selepas itu dan Park mengesahkan kemenangan pertama United ke atas Liverpool sejak Mac 2008 dengan tandukan terbang dari hantaran lintang Darren Fletcher pada minit ke-60.

“Saya fikir keputusan tendangan penalti itu seharusnya kad merah (kepada Mascherano) tetapi ia sangat sengit dan Liverpool begitu bijak menghalang anda bermain, kita menyedarinya,” kata pengurus United, Sir Alex Ferguson ketika memberitahu Sky Sports News.

“Anda harus bermain dengan sabar dan kami menjaringkan satu gol cantik menerusi Park Ji-Sung, yang memainkan satu lagi peranan penting untuk kami.”

Di Craven Cottage, Manchester City menewaskan Fulham 2-1 untuk memintas kedudukan Liverpool ke tangga kelima liga.

Fulham kelihatan keletihan selepas kemenangan hebat ke atas Juventus dalam Liga Europa Khamis lepas dan City mendahului 2-0 sebelum rehat.

Roque Santa Cruz menjaringkan gol pertamanya sejak Disember pada minit ketujuh selepas satu cubaan Craig Bellamy terkena palang sebelum Carlos Tevez menewaskan Chris Smalling pada minit ke-36 untuk menjaringkan gol ketujuh daripada lapan penampilan.

Danny Murphy merapatkan kedudukan buat Fulham dari satu tendangan penalti pada minit ke-75.

Pada perlawanan hari Sabtu, Arsenal menewaskan West Ham United 2-0 walaupun bermain hampir separuh perlawanan dengan 10 pemain selepas Thomas Vermaelen dibuang padang.

Tottenham mengukuhkan kedudukan di tangga keempat liga dan tempat kelayakan terakhir beraksi dalam Liga Juara-Juara apabila menewaskan Stoke City 2-1.

Aston Villa diikat 2-2 di Wolves sementara Everton menewas-kan Bolton 2-0 dan Sunderland mene-waskan Birmingham 3-1. — AFP