Pemilik tuntut pampasan

0

Chabu dakwa syarikat pemaju tebang pokok buah-buahannya

SIBU: Seorang pemilik tanah kebun di Dijih, kira-kira lima kilometer dari pekan Selangau, menuntut dibayar pampasan oleh sebuah syarikat pemaju kerana menebang pokok buah-buahan tanpa memaklumkan terlebih dahulu kepada beliau.

DICEROBOH: antara pokok buah milik chabu yang didakwa ditebang pihak pemaju.

DICEROBOH: antara pokok buah milik chabu yang didakwa ditebang pihak pemaju.

Chabu Buyu, 62, berkata penebangan pokok buah-buahannya itu disedari oleh isterinya minggu lepas.

Katanya, pihak kontraktor yang dilantik melakukan kerja-kerja penyambungan kabel elektrik ke beberapa buah rumah panjang di Dijih telah bertindak ‘bersendirian’ ketika menebang pokok buah-buahan milik beliau termasuk pokok rambutan.

“Saya tidak puas hati dengan tindakan pihak kontraktor yang tidak memaklumkan terlebih dahulu kepada saya sebelum kerja-kerja penebangan dilakukan. Namun, tidak bermakna saya seorang antikerajaan kerana saya cuma mahukan mereka lebih bertanggungjawab.

“Kejadian seumpama ini adalah kali kedua. Kali pertama pihak kontraktor ada membuat pemberitahuan, tetapi tidak ada pampasan dibayar,” katanya ketika datang ke pejabat Utusan Borneo semalam.

Menurut Chabu, beliau serta tujuh orang pemilik tanah lain yang diceroboh pihak kontraktor turut tampil membuat laporan polis di Balai Polis Selangau.

Difahamkan kontraktor berkenaan dilantik melakukan kerja-kerja penyambungan kabel elektrik dari jalan utama hingga ke Dijih, yang terletak dua kilometer.

Tambah Chabu, tidak adil bagi beliau dijadikan mangsa hanya kerana hasrat kerajaan yang ingin memajukan orang lain.

Katanya, beliau juga mungkin tidak menghadapi masalah untuk bekerjasama dengan pihak kontraktor sekiranya diberitahu terlebih dahulu mengenai kerja-kerja penebangan pokok di tanah kebun miliknya.

Menurut Chabu lagi, beliau turut berhasrat untuk mengambil tindakan makhamah terhadap kontraktor sekiranya pihak terbabit gagal membayar pampasan.