Skuad kabaddi uji kemantapan di Kuala Lumpur

0

KUCHING: Skuad kabaddi Sukma Sarawak akan bertandang ke Kuala Lumpur hari ini untuk menghadapi beberapa perlawanan persahabatan dengan pasukan-pasukan di seberang Laut China Selatan bermula 24 hingga 27 Mac ini.Antara pasukan yang bakal menguji kemantapan skuad kabaddi Sarawak ialah tuan rumah Sukan Malaysia (Sukma XIII) Melaka, Selangor dan Johor.

Ketua jurulatih skuad kabaddi Sarawak, Mohd Imran Abdullah memberitahu perlawanan-perlawanan persahabatan itu adalah sebagai gelanggang ‘pemanas badan’ buat skuadnya untuk mengibarkan cabaran pada Sukma di Melaka Jun depan.

“Kita tidak ada kejohanan peringkat kebangsaan untuk menguji kemampuan pasukan kabaddi kita, tetapi kita akan menghadapi beberapa perlawanan persahabatan menentang pasukan-pasukan berwibawa bagi meningkatkan kemampuan para pemain,” katanya.

Sambil memberitahu bahawa Sarawak menduduki ranking keempat dalam kelompok pasukan terbaik negara, justeru beliau yakin semua pemain akan beraksi dengan cemerlang dalam siri perlawanan persahabatan itu.

Mohd Imran berkata anak-anak buahnya mula menjalani latihan intensif sejak Disember tahun lalu dan mereka nampak begitu bersemangat untuk menghadapi kejohanan kebangsaan.

“Kami menjalani latihan di Padang Song Kheng Hai (Padungan), Santubong dan juga di Padang Jubli Kuching pada setiap hujung minggu sebelah pagi dan petang.

“Dengan latihan yang berterusan saya yakin pemain-pemain kita mampu membuktikan persembahan terbaik dan bersedia menghadapi cabaran Sukma di Melaka,” katanya sambil mengakui para pemainnya telah menunjukkan semangat perjuangan tinggi dalam menghadapi cabaran.

Skuad Kabaddi Sarawak mensasarkan untuk mengutip pingat emas pertama dalam sejarah kejohanan kabaddi pada temasya Sukma di Melaka kelak.

“Dengan persiapan rapi serta semangat perjuangan tinggi yang dibuktikan oleh para pemain, saya yakin pasukan kabaddi Sarawak mampu mencipta sejarah pasukan pertama merangkul emas dalam acara terbabit,” katanya.

Kabaddi buat julung kalinya dipertandingkan pada temasya Sukma di Melaka Jun depan, setelah hanya dijadikan sebagai acara demonstrasi pada Sukma di Terengganu dua tahun lalu.