Sevilla seri, jurulatih dipecat

0

MADRID, Sepanyol: Sevilla bertindak memecat jurulatihnya, Manolo Jimenez selepas seri 1-1 di gelanggang sendiri menentang pasukan tercorot Liga Primera Sepanyol, Xerez, Selasa lepas (awal pagi Rabu waktu Malaysia).Sevilla, yang layak ke final Piala Raja Sepanyol, disingkirkan dari pentas Liga Juara- Juara oleh CSKA Moscow pada minggu lepas dan keputusan seri menentang Xerez bermakna mereka gagal memenangi tujuh perlawanan dalam semua pertandingan.

“Lembaga pengurusan Sevilla memecat Manolo Jimenez malam Selasa lepas,” kata kelab dalam laman sesawang rasminya.

Sesi latihan pada hari Rabu akan diselia oleh jurulatih kecergasan, Ramon Orellana dan Ignacio Oria ketika lembaga mencari seorang pengganti, tambah mereka.

Sevilla berada di tangga kelima liga dengan 45 mata, satu mata di belakang Real Mallorca yang menduduki tangga keempat liga, kelayakan terakhir ke Liga Juara-Juara musim hadapan, dan akan bermain menentang Racing Santander keesokannya (Rabu).

Sevilla memiliki salah satu barisan serangan terkuat di Brazil, termasuk gandingan penyerang Luis Fabiano dan Frederic Kanoute.

Mereka sebelum ini berharap untuk mencabar kejuaraan liga dan melangkah ke suku akhir Liga Juara-Juara pada musim ini.

Tetapi semua itu menjadi sukar apabila seri dengan pasukan yang dinaikkan ke Liga Primera pada musim lepas.

Kanoute dimasukkan dari bangku simpanan dalam separuh masa kedua untuk membuka jaringan buat Sevilla dari satu tendangan penalti tetapi Goida menyamakan kedudukan pada minit akhir perlawanan.

Jimenez, yang menggantikan Juande Ramos pada Oktober 2007, mula membayangkan Kedudukannya semakin tidak selamat selepas tersingkir dari pentas Liga Juara-Juara selain beberapa prestasi buruk pasukannya di gelanggang sendiri dan kegagalan mereka menewaskan kelab terbawah liga di gelanggang sendiri menjadi titik terakhir kesabaran lembaga pengarah kelab.

Xerez masih terus menghuni tangga terbawah liga, tujuh mata dari zon selamat tetapi meraikan satu mata itu seperti baru meraih kemenangan pertama.

Kecederaan menyebabkan Sevilla kehilangan pemain sayap, Jesus Navas – pemain terbaik mereka musim ini – yang tidak akan diturunkan selama sebulan kerana kecederaan pergelangan kaki, bersama-sama Luis Fabiano, Aldo Duscher dan Sebastian Squillaci yang juga tidak dapat bermain.

Pada perlawanan lain, Deportivo La Coruna terus dikecewakan dalam usaha mengintai peluang memburu satu tempat beraksi dalam Liga Juara-Juara musim lepas apabila tewas 1-2 kepada Sporting Gijon. — AFP