Suami tidak beri nafkah, isteri mohon cerai fasakh

0

KUCHING: Seorang isteri memohon cerai fasakh di Mahkamah Rendah Syariah di sini semalam, atas alasan tidak diberi nafkah oleh suaminya sejak berkahwin.Isteri yang hanya dikenali sebagai Limah, 31, berasal dari Matang Jaya, Kuching memfailkan permohonan tersebut pada 19 September 2008.

Suaminya, Nizam, 34, kini menetap di Selangor tidak hadir dan tidak diwakili peguam syarie sepanjang perbicaraan kes tersebut.

Menurut Limah, suaminya tidak memberi nafkah kepadanya sejak mereka berkahwin pada 22 Februari 2003 sehinggalah sekarang.

“Sepanjang perkahwinan kami, sayalah yang menanggung semua perbelanjaan rumah seperti bil-bil, perabot, perhiasan dan kereta serta keperluan dapur.

“Dia juga tidak pernah menjalankan tanggungjawabnya sebagai suami dengan baik dan mengajar saya tentang agama Islam kerana saya saudara baru (mualaf),” kata Limah ketika memberi keterangan di sini semalam.

Limah berkata, mereka juga telah mengadu di Bahagian Kaunseling Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) pada 2006 lalu untuk memulihkan rumah tangga mereka namun ia tidak berjaya.

Sehubungan itu, dia bersepakat dengan suaminya untuk menjarakkan diri masing-masing dengan tinggal di tempat berasingan supaya dapat memberi waktu kepada suaminya untuk mengubah sikapnya itu.

Sejak peristiwa itu, suaminya tidak pernah menghubunginya lagi sebaliknya dia yang sering menelefon suaminya untuk bertanyakan khabar dan masalah tersebut.

“Kini dia menggunakan nombor telefon bimbit yang baru. Saya sering telefon, tetapi tidak pernah dijawabnya.

“Saya diberitahu oleh kakak ipar saya bahawa dia sekarang tinggal di Port Klang, Selangor di rumah arwah ibunya dan rumah kami yang terletak di Bukit Bintang telah disewakan oleh suami saya kepada orang lain,” ujarnya.

Setelah mendengar keterangan plaintif, Hakim Syarie Sua’ibon Shamsuddin Abu Bakar menetapkan 26 Mei 2010 bagi pihak plaintif mengemukakan saksi-saksi untuk menyokong tuntutan tersebut.

Limah hadir di mahkamah bersama peguamnya Arip Ameran daripada Tetuan Arip, Ahmad Nizab & Associates.

Dia kini tinggal bersama keluarganya di Matang Jaya Kuching dan kedua-dua pihak tidak dikurniakan cahaya mata sepanjang perkahwinan mereka.