Kejayaan memberangsangkan buat polis Miri

0

MIRI: Polis DiRaja Malaysia (PDRM) Miri menyingkap tabir 2010 dengan empat kejayaan berturut-turut menumpaskan sindiket pengedaran dadah dan menangkap 11 individu termasuk dua wanita.Menurut Ketua Polis Daerah (KPD) Miri, Asisten Komisioner Polis (ACP) Jamaluddin Ibrahim, keempat-empat kejayaan itu semuanya dicapai pihak Jabatan Sisatan Jenayah Narkotik (JSJN) Miri sepanjang bulan Januari lalu.

“Sepanjang Januari lalu, kita berjaya menghasilkan empat tangkapan kes pengedaran dadah dengan menahan 11 individu termasuk dua wanita dan merampas dadah jenis syabu seberat 972.66 gram dan ketamine seberat 57.2 gram ,” katanya.

Beliau memberitahu demikian pada sidang media selepas perbarisan sempena sambutan Hari Polis ke-203 yang berlangsung di padang kawat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri di sini, pagi semalam.

Katanya, kejayaan pertama direkodkan pada jam 1.45 petang, 15 Januari lalu, apabila sepasukan polis dari JSJN berjaya menangkap seorang lelaki Cina dan dua wanita Melayu serta merampas syabu seberat 106.39 gram yang dihantar menggunakan perkhidmatan penghantaran segera (kurier).

Manakala, kes kedua direkodkan pada jam 12.30 tengah hari, 28 Januari lalu dengan penangkapan seorang lelaki Kayan di sebuah rumah di Kampung Pujut Adong dan merampas syabu seberat 260.75 gram.

Kejayaan ketiga pula dicatatkan pada jam 5.45 petang hari sama dengan penangkapan enam lelaki yang terdiri daripada lima lelaki Cina dan seorang Melayu serta merampas ketamine seberat 57.2 gram.

“Kes keempat pula berlaku jam 1.05 petang, 29 Januari lalu, dengan penahanan seorang lelaki di hadapan Pejabat Pos di Jalan Pos di sini dan merampas syabu seberat 605.52 gram,” katanya.

Menurut Jamaluddin, kesemua 11 individu yang ditangkap dalam empat kes itu telah didakwa mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 atas kesalahan mengedar dadah yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

“Kesemua mereka kini ditahan lanjut di Penjara Pusat Miri sementara menunggu perbicaraan kes selesai,” katanya.

Dalam pada itu, menurut beliau, sejak 1 Januari tahun ini sehingga 21 Mac lalu, purata jenayah harian di Miri telah menurun sebanyak 1.24 kes berbanding tempoh sama tahun lepas.

“Bermula 1 Januari tahun ini sehingga 21 Mac lalu, purata jenayah harian di Miri adalah sebanyak 5.86 kes dan jumlah ini menunjukkan penurunan sebanyak 1.24 kes berbanding 7.1 kes pada tempoh sama tahun lepas,” jelasnya.

Selain itu, indeks jenayah kekerasan turut menurun sebanyak tiga peratus dengan catatan 74 kes sejak 1 Januari hingga 21 Mac lalu berbanding 76 kes pada tempoh sama 2009.

“Manakala jenayah harta-benda turut menurun sebanyak 19 peratus dengan jumlah kes sebanyak 395 pada tempoh sama tahun ini dan 485 pada 200,” katanya.

Terdahulu semasa majlis tersebut, seramai 29 orang yang terdiri daripada pegawai dan anggota polis, kakitangan awam dan lapan orang awam telah menerima Sijil Penghargaan Hari Polis.