MEF saran KWSP dirombak menjadi skim pencen

0

Jika skim pencen berasingan diperkenal ia akan hanya menjadi duplikasi kepada KWSP

PETALING JAYA: Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) semalam menyarankan supaya skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dirombak semula menjadi satu skim pencen bagi pekerja-pekerja sektor swasta.Pengarah Eksekutifnya Shamsuddin Bardan berkata ini kerana pengenalan satu skim pencen berasingan bagi pekerja-pekerja dari kategori ini akan hanya menjadi duplikasi kepada KWSP semata- mata.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pengumuman Menteri Sumber Manusia, Datuk S.Subramaniam bahawa kerajaan sedang mengkaji kemungkinan memperkenalkan skim sedemikian tahun depan.

Shamsuddin memberitahu Bernama bahawa di samping membabitkan kos yang tinggi, skim itu dilihat tidak adil bagi para majikan sektor swasta yang diwajibkan membayar KWSP, dan pada masa yang sama juga kepada skim pencen yang dicadangkan.

Ketika ini para majikan menyumbang 12 peratus daripada gaji bulanan pekerja kepada KWSP.

Shamsuddin berkata MEF terperanjat dengan kenyataan Subramaniam itu kerana cadangan itu tidak dibincangkan dengan pihak yang berkaitan sebelum pengumuman mengenainya dibuat.

Beliau berkata MEF juga terperanjat dengan pengumumannya mengenai penubuhan tabung pemberhentian kerja.

Beliau berkata kali terakhir isu tabung pemberhentian kerja dibangkitkan ialah pada mesyuarat Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan (NLAC) pada 23 Julai 2009 di mana MEF memohon satu salinan terma rujukan yang dikeluarkan kepada perunding yang akan membuat kajian berhubung perkara itu.

“Bagaimanapun sehingga kini kami belum menerima salinannya. Ini membuatkan MEF berpandangan bahawa isu tabung itu masih dalam perbincangan tanpa sebarang penyelesaian konklusif,” katanya.

Beliau berkata MEF juga berpandangan bahawa tabung itu nanti akan bertindak sebagai “bail out” kepada syarikat-syarikat yang diurus dengan buruk.

Beliau berkata ini kerana syarikat yang diuruskan dengan baik tidak akan mendapat manfaat daripada tabung itu, kecuali “dihukum” kerana ia terpaksa menyumbang kepadanya setiap bulan.

Katanya MEF mahukan supaya kerajaan membenarkan syarikatsyarikat individu menguruskan tabung pemberhentian kerja mereka masing-masing.

Tambahan pula katanya penubuhan tabung itu tidak perlu kerana ketika ini sudah ada undang-undang pekerja bagi menghukum majikan yang bermasalah di samping memastikan pekerja yang diberhentikan dilindungi.

Sementara itu Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) juga terperanjat dengan pengumuman Subramaniam itu.

Setiausaha Agungnya G.Rajasegaran berkata adalah lebih baik sekiranya menteri berkenaan membincangkan perkara itu di NLAC terlebih dahulu sebelum membuat pengumuman mengenainya.

Bagaimanapun menurutnya MTUC menyambut baik skim pencen bagi pekerja sektor swasta kerana ia melihat “KWSP tidak menjamin keselamatan di hari tua pekerja”, memandangkan kajian menunjukkan bahawa majoriti pekerja yang menyumbang kepada KWSP dan mengeluarkan wangnya selepas bersara, menjadi papa kedana dalam tempoh tiga atau empat tahun kemudiannya.

“Setidak-tidaknya dengan pencen bulanan, masa depan mereka lebih terjamin,” katanya.

Ketika ini hanya pekerja sector awam yang menikmati kemudahan pencen yang termasuk bayaran bulanan minimum RM720, ditambah dengan rawatan perubatan percuma di semua hospital dan klinik kerajaan.

Merujuk kepada tabung pemberhentian kerja Rajasegaran berkata MTUC pernah mencadangkan tabung yang serupa pada tahun 1990-an, namun ia belum dilaksanakan sehingga kini.

Ia mencadangkan supaya para majikan menyumbang RM1 bagi tiap seorang pekerja dengan para pekerja juga menyumbang jumlah yang sama kepada tabung itu, yang akan menjadikan jumlah sumbangan menjangkau RM10 juta tiap bulan.

“Sekiranya tabung tersebut diwujudkan ketika itu, jumlahnya kini sudah menjangkau berbilion ringgit yang boleh digunakan bagi membantu pekerja yang diberhentikan,” katanya. — Bernama