Perubatan F1 sudah bersedia

0

KUALA LUMPUR: Dengan hanya tinggal seminggu lagi, perkhidmatan perubatan Petronas Malaysia Grand Prix Formula One, MalaysiaFormula One (F1) telah menjalani latihan sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan semasa perlumbaan itu.

Ketua pegawai perubatan Perkhidmatan Perubatan Malaysian F1, Brig-Jen Datuk Dr Mohd Zin Bidin berkata ia dikendalikan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM), satu-satunya perkhidmatan perubatan F1 yang dikendalikan oleh angkatan tentera.

“Apabila enjin F1 dipandu 300km sejam dan berlanggar, akibatnya sangat teruk seperti sebuah pesawat terhempas.

“Ia boleh menjadi sangat memudaratkan, dengan serpihan bertaburan dan kemungkinan letupan yang mengaakibatkan banyak kecederaan kepada pemandu dan penonton dan sebab itu litar berkenaan memerlukan satu pasukan perkhidmatan perubatan yang lengkap,” katanya dalam laman web Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

Perkhidmatan Perubatan Malaysia F1 mengandungi pakar-pakar dan doktor dari ATM serta sukarelawan awam dari pelbagai bidang perubatan.

Pasukan itu juga termasuk anggota perubatan dan pakar-pakar dari Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Hospital Kuala Lumpur (HKL), Pusat Perubatan Prince Court dan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM). — Bernama