Tempoh buruk Chelsea belum berakhir: Ancelotti

0

PORTSMOUTH, England: Pengurus Chelsea, Carlo Ancelotti enggan mengisytiharkan tempoh buruk pasukannya sudah berakhir di sebalik kemenangan besar 5-0 ke atas kelab tercorot Liga Perdana Inggeris, Portsmouth Rabu lepas (awal pagi Khamis waktu Malaysia), sekali gus membolehkan Chelsea hanya kurang satu mata di belakang pendahulu liga, Manchester United.Didier Drogba dan Florent Malouda masing-masing menjaringkan dua gol ketika Chelsea memadam kekalahan mengecewakan tersingkir dari pentas Liga Juara-Juara kepada Inter Milan dan juga seri 1-1 di Blackburn Rovers minggu lepas.

Ancelotti berkata musim Chelsea akan kembali di atas landasan sekiranya mereka menewaskan Aston Villa di Stamford Bridge malam esok (Sabtu).

“Kami perlukan kemenangan dan saya berharap saat buruk sudah berakhir,” kata beliau. “Kami harus menunggu sehingga Sabtu ini kerana ia adalah satu ujian yang amat penting untuk kami.

“Kami sudah kehilangan keyakinan minggu lepas tetapi kami kembali bermain dengan baik dan ia adalah sesuatu yang baik untuk masa depan.

“Prestasi ini memberikan kami keyakinan. Kami masih bersaing dalam Liga Perdana serta Piala FA Inggeris dan mempunyai lapan atau sembilan perlawanan sehingga akhir musim, jadi kami perlu mengekalkan semangat itu.”

Beliau menambah: “Kami memerlukan sedikit tuah pada gol pertama tetapi selepas itu kami mengawal permainan dan mempamerkan aksi yang baik.”

Chelsea hanya tercicir satu mata daripada 13 perlawanan liga terakhir menentang Portsmouth tetapi memerlukan ‘bantuan’ untuk mengekalkan rekod cemerlang itu, 13 minit sebelum rehat.

Tiada sebarang bahaya untuk penjaga gol David James keluar dari posisinya bagi menendang bola keluar hasil tandukan pemain tengah Chelsea, Deco namun lantunan bola yang tidak kemas menyebabkan James gagal melakukan tendangan dan bola terus bergolek ke hadapan pintu gol, membolehkan Drogba berlari perlahan sebelum menolak bola ke dalam pintu gol yang terbuka luas.

Ancelotti membayangkan tuah pasukannya sudah berubah apabila Malouda hanya dilayangkan kad kuning selepas dilihat menyiku pemain pertahanan Portsmouth, Ricardo Rocha ketika berebut bola di udara. Rocha diusung keluar dari padang kerana disyaki mengalami keretakan tulang pipi.

Malouda mengambil sepenuh kesempatan daripada peluang kedua itu apabila menjaringkan dua gol dalam tempoh 10 minit selepas rehat sebelum Drogba menambah jaringan kedua peribadi pada minit ke-77.

Walau bagaimanapun, gol yang paling penting adalah gol pemain tengah, Frank Lampard pada minit-minit kecederaan, sekali gus mengikat perbezaan jaringan dengan United.

Dengan Chelsea bertandang ke United pada 3 April, Ancelotti sedar pasukannya perlu memenangi kesemua baki tujuh perlawanan liga untuk memenangi kejuaraan liga pertama sejak 2006.

“Jika kami menang bermula dari sekarang sehingga akhir musim, kami akan menjadi juara,” kata bekas jurulatih AC Milan itu.

“Kami harus melihat tujuh perlawanan ini sebagai final pertandingan piala. Ia pasti sukar tetapi penting untuk terus bersaing.”

Ancelotti juga menyokong Drogba untuk melepasi rekod jaringan terbaiknya 33 gol dalam satu musim selepas melepasi paras 30 gol ekoran dua golnya Rabu lepas.

“Ia adalah satu musim yang sangat penting untuk beliau tetapi beliau merupakan seorang penyerang yang hebat dan saya tidak sabar untuk melihat apa yang mampu dilakukannya pada baki sembilan perlawanan liga dan piala kami.” — AFP