12 dicekup dalam operasi banteras pendatang tanpa izin

0

MIRI: Seramai 12 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) dicekup dalam Operasi PATI yang dilancar pihak berkuasa di sini, awal pagi semalam.Ketua Polis Bahagian Miri, Asisten Superintenden Polis (ASP) Zamri Alli yang mengetuai operasi itu berkata pihaknya telah menangkap lapan PATI dari Bangladesh sementara empat lagi dari Indonesia.

“Pemeriksaan lanjut ke atas semua PATI terbabit mendapati 11 daripadanya tidak memiliki pasport dan masuk ke Malaysia secara haram sementara seorang lagi mempunyai pasport yang tamat tempoh sah lakunya,” katanya ketika dihubungi semalam.

Operasi yang bermula jam 5 pagi itu turut disertai oleh empat agensi penguat kuasa termasuk Polis Daerah Miri, Jabatan Imigresen Malaysia, Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 12 dan Anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela).

Menurutnya, Operasi PATI itu dijalankan bagi mengenal pasti dan menangkap warga asing yang datang ke Miri tanpa permit yang sah atau tamat tempoh sah lakunya.

“Dalam serbuan kita di sebuah tapak pembinaan di Permyjaya, kita telah melakukan pemeriksaan ke atas semua pekerja asing di tapak itu dan menangkap 12 lelaki yang terbukti melakukan kesalahan,” katanya.

ASP Zamri menjelaskan, kesemua suspek telah dibawa ke Balai Polis Pusat Miri dan menunggu perbicaraan di mahkamah untuk tindakan lanjut.

Menurut ASP Zamri, operasi bersepadu itu telah menampakkan kejayaan dan akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan warga asing yang masuk ke Malaysia memiliki passport yang sah.

‘Selain melakukan pemeriksaan ke atas pekerja asing, terutamanya di tapak-tapak pembinaan, kita juga akan melakukan operasi sama di kawasan yang kerap berlaku jenayah, sekali gus dapat mengurangkan kes jenayah,” katanya.