Mancini mahu City tingkatkan prestasi

0

Pengurus tidak puas hati prestasi pasukan walaupun menang 3-0 ke atas Wigan

MANCHESTER, England: Roberto Mancini mengakui Manchester City harus meningkat dengan mendadak untuk memburu tempat keempat Liga Perdana Inggeris ekoran prestasi hambar sekali pun menang 3-0 ke atas Wigan Athletic.City terpaksa menunggu sehingga Wigan kehilangan Gary Caldwell kerana diperintah keluar padang untuk memecah kebuntuan menerusi gol Carlos Tevez, yang kemudian menjaringkan hatrik untuk mengumpul koleksi 25 gol musim ini.

Namun ia adalah satu lagi permainan hambar daripada anak-anak buah Mancini ketika mereka melonjak ke tangga kelima liga, dua mata di belakang pasukan di tangga keempat, Tottenham Hotspur.

Mereka bertandang ke Burnley dan melayani kunjungan Birmingham sebelum satu tempoh sukar menentang Manchester United, Arsenal, Aston Villa dan Tottenham Hotspur dengan perlawanan terakhir di West Ham United.

Justeru Mancini merasakan bahawa City harus meningkatkan prestasi dalam tujuh perlawanan terakhir musim ini.

Beliau berkata: “Kami mempunyai tujuh perlawanan. Saya fikir kami harus bersaing dalam setiap perlawanan. Perlawanan seterusnya adalah sukar namun jika kami mahu menduduki tempat keempat, kami harus bersaing dan bermain lebih baik berbanding ketika menentang Wigan untuk mempunyai peluang itu.

“Kami tahu kami mempunyai peluang yang baik untuk menduduki tempat keempat dan kami tahu kami haruslah bermain sebaik mungkin dan bersaing dengan Tottenham dan Liverpool.

“Adalah penting untuk kami meningkat dalam perlawanan seterusnya dan penting di mana kami memenangi perlawanan akan datang.

“Mungkin Tottenham menjadi saingan utama namun sebelum kami menentang Tottenham, kami akan bermain perlawanan penting yang lain.

“Adalah penting di mana kami harus memenangi perlawanan seterusnya dan perlawanan lain. Ia pastinya sukar untuk kami, Liverpool dan Tottenham namun kami bersedia untuk bersaing.”

Bekas penyerang Manchester United, Tevez sekarang menjaringkan 21 gol dalam 19 perlawanan terakhir. Dan beliau memikirkan Tevez juga harus terus meningkatkan prestasinya.

City memenangi setiap perlawanan liga apabila Tevez menjaringkan gol pada musim ini dan Mancini berseloroh di mana beliau mahu tempoh itu diteruskan.

Beliau menambah: “Kerana itu saya berharap Carlos menjaringkan banyak gol dalam tujuh perlawanan akan datang!

“Saya fikir sekarang beliau menjaringkan banyak gol namun Tevez sentiasa pemain yang bagus apabila beliau bermain di Manchester United.

“’Beliau pemain yang bagus, beliau meningkat setiap tahun dan sekarang jika beliau bermain di hadapan pintu gol, beliau boleh menjaringkan banyak gol.

“Beliau masih muda namun meningkat lebih baik setiap tahun.”

Pengurus Wigan, Roberto Martinez sementara itu berharap untuk merayu keputusan pengadil Stuart Attwell menyingkirkan Caldwell.

Caldwell dilihat menyentuh bola dengan sebelah kakinya sebelum sebelah lagi kaki secara tidak sengaja menerkam kaki Tevez, yang dianggap sebagai terjahan dua kaki.

Penyingkiran pemain pertahanan itu terbukti kunci kepada kemenangan City dan Martinez mempertikaikan keputusan pengadil.

Beliau berkata: “Gary berkata beliau menerjah dengan agak kuat dan menyentuh bola. Sebaik saja ianya berlaku, Carlos Tevez menyedarinya dan melompat dan beliau adalah orang yang meninggalkan padang dengan kedua belah kaki.

“Gary memenangi bola dengan sebelah kaki seperti biasa dan saya boleh faham sekiranya anda memberikan tendangan percuma bergantung kepada sudut anda melihat kejadian itu.

“Namun demikian, untuk memberikan satu kad merah adalah sesuatu yang sukar untuk dijelaskan. Saya tidak mahu melihat pemain dibuang padang. Ia adalah satu keputusan yang hanya dilihat oleh pengadil.”

Wigan masih kekal empat mata di atas zon penyingkiran namun Martinez pasti mereka akan terus kekal dalam Liga Perdana Inggeris.

Beliau menambah: “Kami keku-rangan tuah ketika ini dan kami terpaksa bekerja keras untuk segala-galanya dan kami harus terus menunjukkan mutu yang kami telah tunjukkan selama ini.” — AFP