Pertandingan Mereka Bentuk Teksi Air Sungai Sarawak, 1-30 April

0

KUCHING: Kementerian Perumahan dan Pembangunan Bandar (KPPB) dengan kerjasama Persatuan Reka Bentuk dan Ciptaan Sarawak (IDEAS) akan menganjurkan Pertandingan Mereka Bentuk Teksi Air Sungai Sarawak 2010 yang diadakan dari 1 hingga 30 April ini.Menterinya Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg semalam memberitahu, pertandingan terbabit adalah usaha awal kementerian untuk merealisasikan pelaksanaan teksi air di negeri ini menjadi kenyataan.

“Pertandingan yang terbuka kepada semua warga Malaysia ini merupakan kali pertama dianjurkan kementerian dengan berobjektifkan menjana minat masyarakat tempatan dan asing terhadap perkhidmatan teksi air melalui kaedah inovatif,” katanya dalam sidang media di pejabatnya di Wisma Sultan Tengah di sini, semalam.

Menurut beliau, ia juga bagi memperolehi pandangan dan persepsi masyarakat berkaitan reka bentuk selain menjadi pencetus minda dan pendedahan awal kepda penduduk tempatan mengenai teksi air yang akan dilancarkan pada hujung Julai tahun ini.

“Kementerian juga berhasrat untuk menjadikan penyertaan terbaik dalam pertandingan terbabit sebagai model pendorong dan pencetus motivasi masyarakat tempatan dalam menjana kecemerlangan,” ujarnya.

Beliau berharap agar pertandingan itu memulakan penglibatan awal masyarakat tempatan secara langsung dalam usaha menaik taraf perkhidmatan pengangkutan awam.

“Ia merupakan salah satu daripada tiga pendekatan baru dalam rancangan kerajaan untuk menaik taraf bandar utama di negeri ini bagi tempoh 2010 hingga 2015,” katanya.

Abang Johari dalam pada itu turut memberitahu kementerian juga merancang akan memperkenalkan perkhidmatan bot penumpang terbabit di Sungai Sarawak sebelum Ogos ini.

“Bot penumpang berkenaan sesuai digunakan dan dapat memuatkan maksimum 12 penumpang serta berkelajuan maksimum 10 knot/jam.

“Apabila terlaksana kelak, ia akan menyediakan perkhidmatan berhenti-henti dari Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) ke Pasar Satok Baru,” tegas Abang Johari.

Cadangan memperkenalkan teksi air seperti di negara membangun lain katanya bertujuan mempelbagaikan perkhidmatan pengangkutan awam dan pada masa yang sama mengurangkan kesesakan lalu lintas.

Abang Johari memberitahu sebagai permulaan, kementerian melalui kerjasama Persatuan Koordinasi Pelancongan Satok (PKPS) akan menyediakan sebuah bot penumpang bagi perkhidmatan teksi air berulang alik sepanjang 50 kilometer dari BCCK ke Pasar Baru Satok.

Bagi penyertaan pertandingan teksi air, ia akan dinilai oleh panel hakim yang terdiri daripada jawatankuasa teknikal penganjuran dan keputusan penyertaan berdasarkan empat kriteria iaitu idea dan konsep, realistik, bahan buatan tempatan, mudah penyelenggaraan, cantik serta jelas.

Pertandingan yang dibahagikan kepada tiga kategori iaitu teksi air kecil (lima hingga 10 penumpang) teksi air sederhana (11 hingga 20 penumpang) dan teksi air besar (21 hingga 30 penumpang) boleh disertai sama ada secara individu atau berkumpulan.

Hadiah bagi setiap kategori adalah tempat pertama RM5,000, kedua RM3,000, ketiga RM2,000 sementara tiga lagi hadiah sagu hati turut diberikan iaitu RM800 setiap seorang.

Pertandingan juga anjuran bersama Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sarawak, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB), Jabatan Penerangan Sarawak, Jabatan Marin Sarawak dan Lembaga Sungai-sungai Sarawak (LSS).

Sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut sila hubungi Sekretariat Pertandingan di UiTM (Profesor Madya Dr Margaret Chan).