Program 1Keluarga 1Graduan diperluas

0

Kerajaan mahu semai kesedaran pendidikan di kalangan penduduk luar bandar

LIMBANG: Program 1Keluarga 1Graduan akan diperluaskan di kawasan luar bandar dan pedalaman di daerah ini dengan melaksana pelbagai program kesedaran berbentuk pendidikan kepada golongan sasar.Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota, Dr Abdul Rahman Ismail berkata program berkenaan akan dijalankan pelbagai agensi kerajaan termasuk Jabatan Pelajaran, pemimpin masyarakat dan wakil rakyat.

Beliau menjelaskan masyarakat di pedalaman perlu diberikan pendedahan dengan kesedaran pentingnya pendidikan bagi merealiasikan matlamat kerajaan melahirkan sekurangkurangnya sebuah keluarga memiliki seorang graduan berkelulusan tinggi.

“Pada masa ini memang ada kesedaran di kalangan ibu bapa di pedalaman yang mahu anak-anak mereka berjaya dalam pelajaran.

“Tetapi keinginan tersebut hanya setakat pendidikan di sekolah rendah tetapi kurang keyakinan untuk melanjutkan pelajaran di peringkat menengah dan seterusnya di peringkat tertinggi,” katanya pada program 1Keluarga 1Graduan di SK Limpaku Pinang baru-baru ini.

Hadir sama ialah Penyelia Kanan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Parlimen Limbang, Asmah Yasin, Pegawai Penerangan Bahagian, Mohd Azlan Charles Abdullah, Guru Besar SK Limpaku Pinang, Lajim Karia, Ketua Kampung Limpaku Pinang, Simat Zaman Sapar dan jemputan lain.

Dr Rahman juga mahu jumlah pelajar luar Bandar yang melanjutkan pengajian ke universiti meningkat saban tahun.

Beliau berkata pendidikan amat penting dalam menentukan hala tuju serta mengubah kehidupan mereka ke arah yang lebih baik.

“Justeru ibu bapa terutama di pedalaman harus menekankan pentingnya pendidikan di kalangan anakanak untuk mengubah taraf kehidupan mereka.

“Hanya melalui pendidikan kita yakin penduduk di pedalaman akan lebih maju menbangun setanding dengan anak-anak di bandar,” ujarnya lagi.

Beliau juga mahu usaha untuk merealiasikan 1Keluarga 1Graduan akan diteruskan dari masa ke masa dalam memberi kesedaran pentingnya pendidikan di kawasan luar bandar.