Anggota tentera didera hingga sakit mental

0

PEKAN: Seorang bapa mendakwa anaknya yang bekerja sebagai anggota tentera darat di bahagian kejuruteraan di sebuah kem di Kuala Lumpur mengalami masalah mental akibat dipukul pegawainya kerana tidak hadir bertugas selama setahun.Abdul Hamid Sulaiman berkata anaknya Muhamad Zaini, 28, kini terpaksa mengalami rawatan mental di Hospital Bahagia Tanjung Rambutan.

Kejadian dera itu dikatakan berlaku tahun lalu apabila anggota Polis Tentera menahan Muhamad Zaini di rumahnya di Kuala Kurau, Perak.

“Ketika dalam perjalanan ke Balai Polis Kuala Kurau, anak saya telah dipukul di bahagian kepala dengan kuat menyebabkan pendarahan yang banyak.

“Dia juga dipukul sepanjang perjalanan itu oleh seorang pegawai tentera berpangkat Kapten,” dakwa Abdul Hamid.

Beliau berkata selepas kejadian itu, anaknya menjadi tidak waras dan pada awal tahun ini, dia dihantar ke Klinik Psikiatri dan Kesihatan Mental di Kuala Lumpur yang kemudiannya disahkan mengalami masalah mental.

“Walaupun disahkan doctor yang anak saya mengalami masalah mental, dia tetap dibicarakan di Mahkamah Tentera dan telah dijatuhi hukuman penjara selama sembilan bulan pada 5 Mac lepas.

“Bagaimanapun hanya beberapa hari dijatuhi hukuman, anak saya telah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi Hospital Kuala Lumpur kerana dipercayai diberi makan ubat terlebih dos,” katanya.

Abdul Hamid berkata ekoran keadaan yang dialaminya, Muhamad Zaini yang mempunyai dua orang anak telah bercerai dengan isterinya. — Bernama