6 sekeluarga ditahan bersama 20kg dadah

0

Mereka diserbu ketika leka bungkus dadah

KUALA LUMPUR: Enam sekeluarga ditahan bersama- sama 20,289 gram dadah jenis ketamin bernilai kira-kira RM300,000 dalam satu serbuan di sebuah kondominium mewah di Jinjang, di sini Selasa lepas.Ketua Polis Daerah Sentul ACP Zakaria Pagan berkata mereka yang ditahan itu terdiri daripada tiga lelaki tempatan dan tiga warga India termasuk dua wanita, yang berumur antara 22 dan 54 tahun.

“Dua lelaki tempatan berumur 40 dan 54 tahun itu adalah adik-beradik dengan seorang daripada mereka mempunyai perniagaan kedai makan di Grik, Perak manakala dua wanita warga India itu merupakan isteri kepada kedua-dua beradik tersebut.

“Dua lelaki lain ialah anak dan anak saudara kepada salah satu pasangan suami isteri itu,” katanya kepada pemberita, di pejabatnya di sini semalam.

Zakaria berkata ketika serbuan pada kira-kira jam 11 malam itu, kesemua mereka sedang melakukan kerja-kerja pembungkusan dadah.

Beliau berkata dadah itu dibungkus dengan kuantiti yang besar dipercayai untuk diedarkan di sekitar kawasan Sentul.

“Dadah ini dibungkus dalam plastik yang mengandungi antara 500 gram dan satu kilogram bagi setiap bungkusan,” katanya.

Dalam serbuan itu polis turut merampas wang tunai berjumlah RM2,105, sebanyak 140 biji pil eramin 5, sebuah kenderaan pelbagai guna Toyota Alphard, sebuah kereta Honda dan pelbagai peralatan untuk membungkus dadah termasuk‘sealer’, kata Zakaria.

Rampasan ini adalah yang terbesar bagi ibu pejabat polis daerah Sentul setakat ini, katanya.

Zakaria berkata pihaknya sedang mengenal pasti punca bekalan dadah diperolehi dan individu lain yang terlibat dalam kegiatan itu.

“Kita tidak menolak kemungkinan suspek memperolehi bekalan dadah ini dari India,” katanya.

Kesemua suspek ditahan reman tujuh hari sehingga Selasa depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya. — Bernama