Sunday, September 20

Bekas penuntut kolej terkejut PTPTN tagih ‘pinjaman’

0

KUCHING: Seorang bekas penuntut Kolej Chermai Jaya terkejut dengan tuntutan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang memintanya menjelaskan pinjaman bernilai lebih RM15,000 yang tidak pernah sampai ke tangannya.

SIAPA BERTANGGUNGJAWAB?: Yong (kiri) dan Lai menunjukkan surat daripada Kolej Chermai Jaya dan PTPTN semasa sidang media di pejabat DAP Sarawak di Kuching, semalam.

SIAPA BERTANGGUNGJAWAB?: Yong (kiri) dan Lai menunjukkan surat daripada Kolej Chermai Jaya dan PTPTN semasa sidang media di pejabat DAP Sarawak di Kuching, semalam.

Hanya dikenali sebagai Lai, berusia 29 tahun dan berasal dari Sibu, bekas penuntut itu berkata beliau telah berusaha untuk menyelesaikan perkara tersebut sejak beberapa tahun lepas, namun sehingga kini masih tiada sebarang penyelesaian yang dicapai.

Malah, Lai masih menerima surat guaman daripada perbadanan itu, menyatakan dia tidak dibenarkan meninggalkan negara ini sehingga selesai menjelaskan pinjaman tersebut.

Tambah menyedihkannya, apabila namanya turut disenarai hitam, sekali gus menyebabkan rancangannya untuk ke luar negara pada April ini terpaksa dibatalkan.

Lai dipercayai pernah memohon untuk pinjaman PTPTN pada tahun 2001.

Bagaimanapun, selepas menamatkan pengajian Diploma Sains Komputer pada tahun 2003, pinjaman yang dipohonnya itu tidak pernah diluluskan.

Sehubungan itu, segala kos pengajiannya dalam tempoh tersebut dibiayai oleh kakak-nya.

Lai kemudiannya dikejutkan pada Mei 2004, apabila menerima surat daripada perbadanan tersebut menyatakan pinjaman yang dipohonnya telah diluluskan sebanyak RM15,000 dan telah disalurkan menerusi kolej terbabit.

Malah, selepas menamatkan pengajiannya, Lai tidak meninggalkan sisa hutang dengan kolej terbabit.

Justeru tiada pilihan, dia telah memohon bantuan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pending, Violet Yong, yang kemudiannya menulis beberapa pucuk surat kepada PTPTN dan Kolej Chermai Jaya untuk penyelesaian.

Menurut Yong, kolej berke-naan telah berjanji akan me-ngembalikan RM15,000 itu kepada PTPTN secara ansu-ran sementara PTPTN turut membatalkan rekod Lai.

“Kolej Chermai Jaya mengakui menerima wang yang disalurkan oleh PTPTN, dan berjanji untuk mengembalikan… namun sehingga kini PTPTN masih mengganggu Lai, maka ini bermakna jumlah tersebut belum diselesaikan.

“Lai menerima surat bertarikh 19 Februari 2010, menyatakan dia telah disenarai hitam dan dilarang keluar dari Malaysia,” katanya pada sidang media di pejabat Parti Tindakan Demokratik (DAP) di sini, semalam.

Yong yang juga bendahari DAP Sarawak berkata, Kolej Chermai Jaya merupakan salah satu daripada tujuh institusi pengajian tinggi yang menghentikan operasi pada tahun 2008.

“Sekarang, kolej tersebut sudah tidak lagi beroperasi, di mana wang itu menghilang  sedangkan PTPTN berjanji untuk menyelesaikan masalah tersebut, ia tetap berlarutan sehingga hari ini,” katanya.

Alamat terakhir Kolej Chermai Jaya ialah di Matang Jaya dan difahamkan pernah beroperasi di Jalan Pending dan Semariang.

Kenyataan terakhir dari-pada PTPTN menunjukkan Lai berhutang kira-kira RM18,000.

“Saya akan meminta bantuan daripada Ahli Parlimen Kuching, Chong Chieng Jien untuk mengemukakan isu ini pada persidangan Parlimen,” katanya.