Jurukimpal dipenjara 16 tahun sebabkan kematian dua lelaki

0

SHAH ALAM: Walaupun terselamat daripada hukuman gantung, seorang jurukimpal tidak terlepas daripada hukuman berat apabila Mahkamah Tinggi di sini semalam menjatuhkan hukuman penjara 16 tahun ke atasnya kerana menyebabkan kematian dua lelaki menggunakan sebilah pisau, empat tahun lepas.Pesuruhjaya Kehakiman Mohd Yazid Mustafa menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Nai Boon Wah, 30, mengaku bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda.

Mohd Yazid memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara 16 tahun bagi setiap pertuduhan secara serentak berkuatkuasa dari tarikh dia ditangkap, 6 Jun 2008.

Tertuduh didakwa menyebabkan kematian Lim Teik Tsung, 27, di V Bar Bistro Lounge, No: 43,45 & 46, Jalan Nilam 5, Bandar Bukit Tinggi, Klang, kira-kira jam 2 pagi, 27 Nov 2006.

Nai juga didakwa menyebabkan kematian Ong Kian Meng, 35, di tempat, masa dan tarikh yang sama.

Tertuduh sebelum ini didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan, yang kemudian dipinda kepada Seksyen 304 (a)Kanun yang sama.

Dalam penghakimannya, Mohd Yazid berkata mahkamah berpendapat factor terpenting dalam menentukan hukuman ke atas tertuduh ialah fakta kejadian yang boleh menyebabkan kematian kedua-dua mangsa.

Beliau berkata berdasarkan fakta kes, berlaku pertengkaran antara tertuduh dan kedua- dua mangsa dan tertuduh kemudian telah mengeluarkan sebilah pisau yang diselitkan di kakinya lalu terus menyerang kedua-dua mangsa.

“Pergi ke bar dalam keadaan bersenjata menunjukkan sudah ada persediaan awal dan pisau itu yang menyebabkan kematian kedua-dua mangsa. Ekoran daripada pertengkaran biasa dan dalam keadaan mabuk bukan satu perbuatan yang boleh dipandang ringan oleh mahkamah, tambahan pula mangsa tidak melawan tetapi tertuduh bertindak menikam mangsa dengan beberapa tikaman yang membawa kepada kematian mangsa. — Bernama