United tanpa Rooney menentang Chelsea

0

Ferguson bagaimanapun yakin Berbatov mampu galas tugas di Old Trafford malam ini

MANCHESTER, England: Impak sebenar keputusan Manchester United membenarkan Cristiano Ronaldo berpindah ke Real Madrid mungkin boleh diketahui di Old Trafford pada malam ini (Ahad).Ketiadaan Ronaldo kurang dirasai berbanding apa yang dijangkakan selepas menjaringkan 42 gol pada musim terakhir di Old Trafford dan ia adalah kerana Wayne Rooney yang mengisi kekosongannya turut meledak jaringan demi jaringan.

Namun dengan Rooney direhatkan kerana kecederaan rawan pergelangan kaki, ia masih menjadi persoalan sama ada skuad Sir Alex Ferguson mempunyai kekuatan dalaman yang diperlukan untuk memburu kejuaraan Liga Perdana Inggeris buat kali keempat berturut-turut.

Kemenangan ke atas pasukan Chelsea, yang sudah menemui semula prestasi mereka dalam dua minggu terakhir, akan mewakili satu langkah yang besar dalam menggapai sasaran memburu kejuaraan keempat.

Ia akan membolehkan United berada empat mata di singahsana liga dengan baki lima perlawanan sahaja lagi dan adalah sukar untuk membayangkan skuad Ferguson akan terlepas kelebihan itu pada akhir musim.

Ketiadaan Rooney bagaimanapun akan memberikan Dimitar Berbatov peluang untuk meyakinkan para peminat United bahawa perpindahannya yang bernilai 30 juta pound ke Old Trafford pada 2008 merupakan satu pelaburan yang bijak oleh Ferguson.

Gaya permainan Berbatov menyebabkan beberapa penyokong mempersoalkan kesungguhannya namun sentuhan cantik dan imaginasi kapten Bulgaria itu sememangnya amat dihargai rakan-rakan sepasukan dan juga Ferguson.

“Kami menunjukkan musim ini bahawa kami bermain sebagai sebuah pasukan,” kata pemain pertahanan tengah, Nemanja Vidic. “Ia bukan hanya tentang seorang pemain. Sememangnya Wayne Rooney bermain dengan baik musim ini. Beliau luar biasa, salah seorang pemain terbaik di dunia.

“Tetapi ada kalanya pemain seperti ini tidak dapat diturunkan, jadi yang lain perlu bersedia.”

“Dimitar bermain dengan baik ketika menentang Bolton Sabtu lepas. Beliau seorang pemain yang hebat. Beliau menjaringkan dua gol dan juga mengumpan gol kepada pemain lain. Kami memiliki skuad yang bagus. Kami hanya perlu percaya dengan diri kami dan juga percaya sesama kami.”

Ketika United diselubungi masalah di barisan serangan, Chelsea cukup menyerlah apabila menjaringkan 12 gol dalam dua perlawanan terakhir.

Pengurus mereka, Carlo Ancelotti, yang menyedari ketiadaan Rooney mungkin akan menjejaskan United, tetap mempercayai ketiadaan penyerang inspirasi mereka itu mampu membangkitkan lagi semangat United untuk meningkatkan permainan mereka.

“Mungkin kadang-kadang sebuah pasukan boleh memberikan lebih daripada 100 peratus apabila seorang pemain penting itu tidak dapat diturunkan,” kata Ancelotti. “Kami harus memberikan perhatian dalam isu ini.

“Kami perlu menunjukkan permainan kami dan melakukannya dalam 90 minit serta terus fokus kepada tugas. Manchester United adalah pasukan yang bahaya dan mempunyai ramai pemain yang boleh mencipta kesukaran.”

Ancelotti percaya saingan kejuaraan liga akan ditentukan pada hari terakhir, tidak kira apa jua keputusan hari ini.

“Takdir selepas perlawanan akan berada di pasukan yang menang tetapi tiada apa yang diputuskan,” kata beliau.

Kepulangan Didier Drogba ke tahap kecergasan sepenuhnya memberikan Ancelotti dilema mengenai siapa yang harus diturunkan dalam pasukan yang menewaskan Aston Villa 7-1 minggu lepas, dengan Nicolas Anelka mengetuai barisan serangan. Tetapi semua petanda menunjukkan bahawa Drogba akan diturunkan di kesebelasan utama.

“Beliau merupakan pemain yang sangat penting, beliau sudah menjaringkan 30 gol musim ini,” tambah Ancelotti lagi. “Penyerang lain melakukan tugas mereka dengan  baik ketika menentang Villa tanpa beliau tetapi beliau tetap pemain yang sangat penting bagi kami.”

Satu jaringan John Terry membolehkan Chelsea menang 1-0 pada perlawanan pertama kedua-dua pasukan di Stamford Bridge, November lepas tetapi Ancelotti tidak begitu berminat mengenang kembali keputusan itu.

“Kami bermain untuk kejuaraan liga, jadi secara psikologinya ia adalah berbeza.” — AFP