Enam mati demam denggi berdarah

0

KUCHING: Dalam tempoh Januari hingga 3 April tahun ini, Sarawak mencatatkan enam kematian akibat demam denggi berdarah.Sebanyak 1,638 kes demam denggi direkodkan dalam tempoh yang sama. Kes terakhir yang direkodkan melibatkan seorang lelaki Cina dari Betong pada 23 Mac lalu.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Dr George Chan berkata, keadaan ini membimbangkan kerana jumlah kematian akibat demam denggi berdarah bagi tempoh Januari hingga April tahun ini sama dengan bilangan kematian pada 2009.

Chan berkata, beliau telah mendapat laporan daripada Jabatan Kesihatan Negeri, yang menyebut kes kematian disebabkan kelewatan pesakit mendapat rawatan.

Beliau bagaimanapun menyatakan bahawa kes denggi berdarah di Sarawak semakin berkurangan dan berada pada tahap yang boleh dikawal.

Bagaimanapun Dr Chan berkata, pencegahan harus diteruskan bagi memastikan kes ini kekal berada pada tahap minimum.

“Ini merupakan satu berita yang menggembirakan bagi semua orang kerana semakin hari kes denggi berdarah semakin berkurangan.

“Kita harus meneruskan segala kempen kesedaran dan pencegahan bagi memastikan ia berada pada tahap yang semakin baik,” ujar beliau.

Dr Chan menyarankan agar orang awam sentiasa memastikan tiada tempat pembiakan nyamuk aedes wujud di sekitar kawasan mereka bagi mengelak wujudnya jentik-jentik nyamuk tersebut.

Selain itu, orang awam dinasihatkan agar mendapatkan rawatan segera apabila mempunyai sintom-sintom terkena demam denggi seperti demam panas yang mengejut, sakit sendi dan kepala.

Orang awam turut disarankan agar sentiasa mengadakan kempen kebersihan di kawasan mereka bagi memastikan kesedaran terhadap bahaya nyamuk eades dan demam denggi dapat diteruskan.