Remaja lelaki didakwa rogol gadis bawah umur

0

KUCHING: Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun didakwa di Mahkamah Majistret di sini semalam atas tuduhan merogol seorang gadis berusia 15 tahun.Tertuduh yang berasal dari Simunjan, didakwa di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu  sekitar jam 9 pagi pada 27 Mac 2010 di dalam sebuah pondok di tempat rekreasi bersebelahan sebuah bangunan kerajaan di Petra Jaya.

Mangsa yang berasal dari Petra Jaya. Menurut pertuduhan, tertuduh telah membawa mangsa untuk keluar berdua-duaan dan memaksa mangsa untuk melakukan persetubuhan.

Oleh kerana mangsa takut ditinggalkan seorang diri di taman rekreasi berkenaan, mangsa tunduk kepada permintaan tertuduh.

Tertuduh ditangkap pada 30 Mac lepas.

Mahkamah menetapkan 15 Mei untuk  kes itu disebut semula.

Dalam kes berasingan, seorang lelaki berusia 27 tahun dari Sibu didenda RM3,000 atau penjara tiga bulan atas kesalahan memiliki dadah berbahaya.

Chiew Wei Liang didapati bersalah memiliki 1.03 gram dadah Ketamine pada Mac 2008 di tempat letak kereta di sebuah pusat makanan di Pusat Komersial Batu 3 di sini.

Tertuduh telah membayar dendanya itu.

Majistret Portia Tham Ong Leng menghakimi kes tersebut sementara  pendakwaan dilakukan Cif Inspektor Jawai Francis.

Dalam satu lagi kes, seorang lelaki dari Stutong Jaya di sini didenda RM1,000 atau sebulan penjara atas kesalahan menyebabkan kecederaan  terhadap seorang wanita.

Walter, 24, dan seorang yang masih bebas didakwa mencederakan Sim Ling Ling sekitar jam 2 pagi di sebuah pusat makanan di BDC pada 18 Disember tahun lepas.

Dia didakwa di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Walter telah membayar denda tersebut.